PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersetuju dengan tuntutan baharu Kerajaan Sabah berkaitan fleksibiliti dan autonomi dalam penggunaan peruntukan bencana berdasarkan keperluan sebenar atau kesegeraan.
Perkara itu dicapai menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Pendidikan (JTBPP) Negeri Sabah Bilangan 1 Tahun 2024, di sini kelmarin.
KPM dalam kenyataan memaklumkan, bagi memenuhi tuntutan itu, KPM akan menambah baik prosedur pengendalian standard (SOP) sedia ada untuk perolehan kecemasan bagi menentukan peruntukan serta kaedah perolehan.
Katanya, langkah Ini dapat membantu penyelesaian segera ketika bencana dan mengatasi isu-isu berbangkit.
“Antara keputusan penting yang turut dipersetujui adalah berkaitan pengambilan guru baharu yang dipecahkan mengikut tiga wilayah iaitu Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
“Selain itu, mesyuarat juga bersetuju memasukkan citra Sabah dalam kurikulum dan dasar pendidikan negara,” katanya hari ini.
Mesyuarat JTBPP itu dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Pada masa sama, KPM turut meluluskan lima tuntutan tambahan yang dikemukakan Kerajaan Sabah sebagaimana yang diluluskan kepada Kerajaan Sarawak.
Katanya, ia melibatkan perancangan projek, perkongsian maklumat mengenai perpindahan pegawai kanan jabatan pendidikan negeri (JPN) ke ibu pejabat KPM dan perkongsian data pendidikan.
“Mesyuarat JTPBB berlangsung lancar dalam suasana harmoni, mencerminkan kesepakatan KPM dan Kerajaan Sabah.
“KPM komited menterjemahkan semangat MA63 menerusi usaha berterusan memperkasakan pendidikan di Sabah,” katanya. – UTUSAN