KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyasarkan sehingga 80 peratus pelajar yang menyambung pengajian ke tingkatan enam memasuki Universiti Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Timbalan Menterinya, Wong Kah Woh berkata, sasaran itu adalah komitmen kerajaan dalam meningkatkan galakan pelajar untuk menyambung pelajaran di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), sekali gus menepis stigma negatif menyebabkan mereka enggan menyambung pengajian ke tingkatan enam.
“Sememangnya KPM meletakkan satu sasaran selepas pemerkasaan dibuat suatu hari nanti dengan mencapai kemasukan 80 peratus dan kita sedang giat untuk menjalankan promosi kepada ibu bapa. Sememangnya program ini giat dilaksanakan kepada pelajar tingkatan enam.
“Ada inisiatif yang telah dilaksanakan, antaranya memberi autonomi kepada pengetua untuk membuat keputusan terhadap semua rayuan memasuki ke tingkatan enam,” katanya bagi menjawab soalan tambahan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) di Dewan Rakyat, semalam.
Terdahulu, Chean Chung meminta kementerian menjelaskan pelan dan promosi STPM yang lebih efektif kepada pelajar dan ibu bapa memandangkan terdapat persepsi negatif sehingga mengurangkan minat pelajar untuk menyambung pengajian ke tingkatan enam.
Mengulas lanjut, Kah Woh berkata, berdasarkan statistik KPM, hampir 70 peratus pelajar tingkatan enam diambil menyambung pengajian ke peringkat IPTA sejak 2021 dan peratusan tersebut terus meningkat.
Sementara itu, menjawab soalan Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) mengenai status terkini projek 1BestariNet, Kah Woh berkata, tiada tindakan undang-undang difailkan di mahkamah setakat ini bagi menyelesaikan semua legasi masalah 1BestariNet yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.
Katanya, walaupun perjanjian 1BestariNet fasa dua telah tamat pada 30 Jun 2019, namun terdapat isu yang masih belum diselesaikan. – UTUSAN