KUALA LUMPUR: Kerajaan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak bercadang untuk melaksanakan sistem subsidi bagi bangunan perumahan kos rendah atau berstrata.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, ia berikutan negara ini mempunyai 24,385 skim bangunan berstrata serta jumlah unit mencecah 2.83 juta.
“Berdasarkan kepada kekangan kewangan mana-mana kerajaan pun (tidak akan berlaku). Bagaimanapun kerajaan Madani, sentiasa menyantuni rakyat dan sebab itu dalam tempoh dua tahun sahaja hampir RM300 juta diperuntukkan untuk membaiki, menyelenggara dan membaik pulih mana-mana bangunan yang didapati usang atau daif.
“Bagaimanapun, kita juga perlu kerjasama semua penghuni. Oleh kerana itu, dalam skim Program Residensi Rakyat (PRR) yang bakal dilancarkan tahun hadapan, semua penghuni akan diberikan kad akses untuk kegunaan di pintu masuk berpagar dan untuk kegunaan lif.
“Sekiranya mereka membayar yuran, mereka dapat menggunakan perkhidmatan tersebut. Untuk memastikan mereka bekerjasama dalam komuniti dengan aman dan sentosa serta saling menghormati,” katanya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) mengenai adakah kerajaan bercadang untuk melaksanakan sistem subsidi kepada bangunan kos rendah dan bagaimana untuk menyelesaikan masalah pemilik rumah berstrata yang tidak dapat diselesaikan. – UTUSAN