KPDN perkenal Jualan Rahmah Madani di IPT

KPDN perkenal Jualan Rahmah Madani di IPT

MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali bergambar bersama kumpulan Maya yang menjadi johan pertandingan kreatif mahasiswa pada Majlis Penutup Perdana Gerakan Pengguna Siswa Peringkat Kebangsaan 2024 di UTM Hotel & Residences. Foto : Saddam Yusoff
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bakal memperkenalkan Program Jualan Rahmah Madani (PGRM) di institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara menjelang tahun depan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, mengambil kira komitmen kerajaan melalui peruntukan RM300 juta Payung Rahmah, pihak kementerian bercadang memperkenalkan PJRM@Kampus.

Menurutnya, pelaksanaan kaedah baharu itu untuk memperluas kumpulan sasar penerima manfaat kepada golongan mahasiswa yang memerlukan.

“Penganjuran ini akan diperkenalkan pada awal tahun hadapan secara berperingkat dan mengikut kesesuaian jadual IPT yang ingin terlibat.

“Kami sasarkan semua IPT akan mengambil bahagian dan kami juga akan berbincang dengan lebih lanjut berapa jumlah peruntukan yang boleh diberikan untuk satu-satu institusi itu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas menyempurnakan Penutupan Majlis Perdana Gerakan Pengguna Siswa Peringkat Kebangsaan 2024 di sini, semalam.

Tambah Armizan, kementerian sudah memberikan mandat kepada Gerakan Pengguna Siswa (GPS) untuk memberikan senarai barangan yang bersesuaian yang diperlukan oleh golongan sasar itu.

“Dalam menentukan mekanisme dan barangan yang diperlukan untuk PGRM@Kampus, saya berikan tugas kepada GPS kerana mereka juga terdiri daripada mahasiswa.

“Kami berikan masa selama dua minggu untuk mereka senaraikan barangan yang bersesuaian sama ada makanan dan keperluan barangan alat tulis,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, bagi keperluan barangan basah masih perlu perbincangan lebih lanjut dan pihak kementerian akan lihat syor daripada GPS sama ada memerlukan atau tidak.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan mahu GPS menjadi suara komuniti anak muda dan rakyat dalam membentuk golongan pengguna bijaksana dan berhemah di negara ini.

“GPS bukan hanya memainkan peranan sebagai mata dan telinga kerajaan dalam soal kepenggunaan sebaliknya kita mahu ia juga berperanan sebagai minda dan suara rakyat serta kerajaan menyalurkan aduan kepenggunaan untuk tindakan lanjut.

“Keterlibatan mahasiswa menerusi Gerakan GPS sangat penting menjadi pencetus suara dan minda rakyat dan menjadi jambatan antara kerajaan dan rakyat dalam soal kepenggunaan di negara ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya