BUKIT MERTAJAM : Seorang pemandu treler mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menyebabkan kematian seorang kerani wanita dalam satu kemalangan ngeri, Rabu lalu.
Marhizan Johari, 51, membuat pengakuan tersebut ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga orang anak itu didakwa telah memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian orang awam iaitu seorang pemandu Volvo, Lee Zi Rou, 21.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 9.30 pagi, 13 November lalu di Jalan Kebun Sireh, Bukit Mertajam dalam daerah Seberang Perai Tengah (SPT).
Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak melebihi RM50,000.
Selain itu, tertuduh juga berdepan kemungkinan hilang kelayakan untuk memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dari tarikh sabitan, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadzly Hassan manakala tertuduh hadir tanpa diwakili peguam.
Terdahulu, ketika prosiding, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh berikutan kes itu telah mendapat liputan meluas di media-media sosial.
Pada masa yang sama, tertuduh juga dilihat tidak menunjukkan sebarang rasa bersalah atas perbuatannya hingga sanggup menunjukkan isyarat ‘peace’ ketika wajahnya dirakamkan lensa kamera oleh pihak media ketika proses tahanan reman dilakukan.
Mohd Harith kemudian tidak membenarkan sebarang jaminan diberikan terhadap tertuduh dan menetapkan tarikh sebutan semula pada 24 Januari depan sementara menunggu laporan bedah siasat, perubatan serta laporan daripada Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
Dalam kejadian berkenaan, seorang wanita maut manakala seorang lelaki cedera parah selepas kereta dipandu mereka dihempap kontena yang terjatuh dari sebuah treler dalam kemalangan yang melibatkan lima kenderaan buah di Jalan Kebun Sireh itu.
Kejadian itu dipercayai berlaku semasa lima buah kereta dan sebuah lori sedang berhenti di sebuah lampu isyarat sebelum sebuah treler yang membawa kontena tiba-tiba membelok ke kiri dengan laju sehingga menyebabkan kontena tersebut terjatuh dan menghempap kenderaan terbabit.-UTUSAN