Kontena hempap kenderaan: Lesen syarikat treler boleh digantung

Kontena hempap kenderaan: Lesen syarikat treler boleh digantung

ANTHONY Loke ketika merasmikan penutup Bengkel Ekonomi Maritim di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lesen operasi syarikat pengendali treler yang terbabit dalam insiden kemalangan dengan beberapa kenderaan di Pulau Pinang semalam, bakal digantung.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tindakan itu boleh dikenakan jika didapati gagal dalam audit ataupun tidak mematuhi peraturan keselamatan ditetapkan.

Beliau berkata, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga akan membuat audit terhadap syarikat berkenaan.

“Saya melihat bahawa ini (insiden) ada unsur kecuaian dan juga unsur tidak mematuhi keselamatan oleh pengendali treler tersebut.

“Kita mengambil serius insiden ini, malah, saya juga minta Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menyiasat punca kemalangan itu,” katanya ketika merasmikan penutup Bengkel Ekonomi Maritim di sini, hari ini.

Katanya, beliau juga mahu siasatan dilakukan terhadap prosedur operasi standard (SOP) ketika mengendalikan kontena di atas treler kerana ketika kejadian itu, kontena tersebut seolah-olah tidak dipasang dengan selamat.

Loke berkata, beliau juga difahamkan, treler itu lebih panjang daripada kontena yang dibawa kerana ia sepatutnya membawa dua buah kontena.

Dalam perkembangan sama, Loke berkata, beliau juga kecewa dengan pemandu treler berkenaan yang langsung tidak sensitif terhadap mangsa yang meninggal dalam insiden itu.

“Saya difahamkan ketika beliau (pemandu treler) itu dihadapkan ke mahkamah dan semasa dihadapkan ke mahkamah dia tunjuk isyarat tanda ‘peace’.

“Saya tak tahu apa punya sikap macam ini. Orang macam ini bukan sahaja tak menyesal sebaliknya tidak ada rasa bersalah kepada mangsa dan tidak sensitif kepada perasaan keluarga mangsa,” katanya.

Dalam kejadian pagi semalam, seorang wanita maut manakala seorang lelaki cedera apabila kereta dipandu dihempap kontena yang dibawa sebuah treler di Jalan Bukit Tengah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Ditanya dakwaan mengenai sebuah syarikat perkapalan yang disyaki membawa senjata api untuk keperluan Israel yang berlabuh di negara ini, Loke berkata, pihaknya belum menerima apa-apa maklumat mengenai perkara itu.

“Saya belum terima apa-apa laporan lagi. Saya difahamkan, syarikat perkapalan itu bukan sahaja dibenarkan berlabuh di negara ini sebaliknya mempunyai peganga saham di Pelabuhan Tanjung Pelepas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya