Konsert haram itu bukan kami - Penganjur Malam Galau - Utusan Malaysia

Konsert haram itu bukan kami – Penganjur Malam Galau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penganjur dan penerbit konsert Malam Galau, Elmi Elmo, menegaskan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan penganjuran konsert haram di Kemaman, Terengganu seperti yang tular.

Jelas Elmi, kekeliruan timbul apabila terdapat penganjur tidak bertanggungjawab meniru konsep serta tema pakaian yang menyamai rangkaian konsert di bawah jenama Malam Galau.

“Walaupun tidak menggunakan nama ‘Malam Galau’ namun mereka telah mengambil keseluruhan konsep seperti ‘dress code’ iaitu putih untuk pengunjung masih solo dan hitam kepada yang sudah berpunya.

“Ketika video serbuan tular kerana mereka tidak memohon permit, ramai yang salah anggap kononnya acara itu ialah Malam Galau yang dianjurkan oleh kami sehingga ada yang mahu boikot.

“Sedangkan sebelum ini, kami tidak pernah gagal memohon permit, lesen, bayar royalti dan cukai seperti ditetapkan pihak berkuasa. Insiden itu telah mencalarkan imej kami,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Elmi turut memaklumkan nama Malam Galau telah pun mendapat hak cipta yang didaftarkan di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Ujar Elmi, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sekiranya ada pihak yang cuba memanipulasi sebarang acara menggunakan nama tersebut.

“Untuk makluman, kami sudah pun berjaya mendaftarkan hak cipta nama dan penerbitan Malam Galau daripada MyIPO sejak 1 Januari 2022. Oleh itu, tidak boleh ada sebarang acara atau konsert yang boleh menggunakan nama sama.

“Kami juga sedang dalam proses mendapatkan sijil tanda dagang.

“Sebelum ini kami tidak rasa ada keperluan untuk  ambil tindakan undang-undang. Paling tidak, kami akan tegur penganjur baik-baik sekiranya guna nama Malam Galau.

“Namun begitu, apabila semakin banyak perkara tidak baik tular dikaitkan dengan penganjuran Malam Galau, kami tidak teragak-agak ambil tindakan lebih tegas selepas ini sebagai amaran dan pengajaran,” tambahnya.

Terdahulu, media melaporkan 1,500 pengunjung acara sebuah konsert di Kemaman diarahkan bersurai oleh pihak berkuasa kerana tiada kelulusan dan permit yang sah.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata siasatan awal mendapati peserta konsert ‘haram’ tersebut tidak menghiraukan notis larangan berkumpul yang ditampal Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) di lokasi berkenaan.

Malah, beberapa video menunjukkan insiden tersebut turut menjadi tular di media sosial dengan tanda pagar ‘Malam Galau kena halau’- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya