Konflik 20 tahun selesai, petani terima bayaran ex-gratia - Utusan Malaysia

Konflik 20 tahun selesai, petani terima bayaran ex-gratia

LOH Sze Yee (kanan) bercakap dengan petani yang menerima pembayaran ex-gratia di Ipoh semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pertikaian selama 20 tahun antara kumpulan petani setinggan dan kerajaan negeri Perak berakhir apabila pembayaran ex-gratia dibuat kepada 97 petani yang mengusahakan tanaman di Kanthan, Chemor.

Penyelesaian itu dicapai menerusi kerjasama antara agensi kerajaan negeri iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) serta Perak Corporation Berhad dengan Advancecon Holdings Berhad (Advancecon) bersama sekumpulan petani tersebut.

Langkah itu menyaksikan setinggan petani terbabit menerima ex-gratia daripada pihak Advancecon sebagai tanda ihsan. Jumlah nilai pembayaran tidak dinyatakan kepada umum atas persetujuan bersama.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee gembira kerana konflik itu berjaya diselesaikan dengan semua pihak terlibat berpuas hati.

Beliau menegaskan kerajaan negeri tidak bertanggungjawab untuk membuat pembayaran di atas pendudukan tanah tersebut.

“Kerajaan negeri telah meminta mereka yang terlibat untuk bekerjasama dan berbincang supaya semua pihak dapat menemui jalan, atau formula di mana semua bersetuju.

“Selepas ini, pihak pemaju juga dapat melakukan kerja-kerja dengan jaminan tiada apa-apa halangan. Ini situasi menang-menang. Seperti saya tekankan berkali-kali kerajaan tidak membayar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis simbolik penyerahan ex-gratia kepada penerima di sini semalam yang turut dihadiri oleh Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak.

Kes itu mendapat perhatian rakyat sejak bertahun-tahun sehingga timbul dakwaan berlaku penganiayaan dan pengusiran secara paksa terhadap petani yang menjalankan aktiviti di tanah tersebut.

Tanah berkeluasan lebih 300 hektar itu dimiliki oleh PKNPk dan dirancang untuk pembangunan Silver Valley Technology Park (SVTP) untuk memacu aktiviti pelaburan dan pertumbuhan ekonomi negeri.

Ketika ditanya adakah penyelesaian tersebut boleh menjadi rujukan pada masa akan datang, Sze Yee berkata, perkara sebegitu itu perlu dibincangkan antara orang yang menduduki dengan pemilik tanah dan tidak semestinya berlaku sepertimana di SVTP kerana perbezaan pelbagai faktor.

“Dengan penyelesaian ini, kita boleh melakukan pembangunan dengan kadar segera kerana sebelum ini kerajaan negeri menghadapi masalah kerana selama hampir satu generasi tiada pembangunan tanah industri yang holisitik. Itu menyebabkan Perak ketinggalan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN