TELUK INTAN: Kompleks Menara Condong di sini yang menjadi tumpuan pekerja warga asing lengang selepas akhbar ini menyiarkan laporan mengenai keadaan di situ baru-baru ini.
Tinjauan di pusat perniagaan itu pada kelmarin dan semalam iaitu ketika hujung minggu yang biasanya ramai warga asing mendapati tidak ramai kehadiran warga asing.
Penduduk berkata, keadaan itu mungkin disebabkan warga asing bimbang pihak berkuasa melakukan serbuan selepas berita mengenainya disiarkan akhbar ini.
Pengerusi Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Melayu Negeri Perak Cawangan Teluk Intan, Wazir Omar berkata, warga asing mungkin takut untuk berkumpul di pusat perniagaan itu selepas akhbar ini melaporkan keadaan di kompleks itu yang dibanjiri warga asing.
Menurutnya, diharapkan pihak berkuasa terus memantau keadaan di kompleks perniagaan itu supaya warga asing tidak mengambil kesempatan melanggar peraturan.
“Kita seharusnya mengutamakan bangsa sendiri terutamanya dalam sektor pekerjaan dan perniagaan supaya rakyat Malaysia lebih bertambah maju.
“Hak warga negara seharusnya diutamakan. Keadaan di kompleks perniagaan ini perlu sentiasa dipantau supaya tiada pihak yang mengambil keuntungan,” katanya.
Sebelum ini, akhbar ini melaporkan mengenai kehadiran warga asing yang ramai terutama pada setiap hujung minggu atau cuti umum di kompleks perniagaan itu.
Pusat perniagaan itu menjadi tumpuan warga asing yang mendapatkan barangan keperluan harian, pakaian dan perkhidmatan seperti penghantaran wang ke negara mereka.
Tinjauan mendapati kompleks itu seperti sudah ditawan oleh pekerja asing yang turut menjadikan pusat perniagaan itu tempat mereka berkumpul dan berjumpa dengan rakan-rakan senegara.
Di kompleks itu, warga asing yang bekerja di kilang, ladang, syarikat pembinaan datang ke situ kerana untuk membeli barang keperluan harian kerana di situ terdapat kedai membaiki telefon, kedai menjual beg, cadar, karpet, kedai makan dan kedai gunting rambut.
Sebelum ini kompleks itu merupakan pusat peniaga tempatan namun ramai yang menutup perniagaan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa wabak Covid-19.
Sejak itu kompleks perniagaan itu bertukar wajah menjadi tumpuan warga asing. Pada hari biasa jumlah warga asing di kompleks itu ramai terutama selepas mereka habis bekerja di kilang berdekatan dan dari ladang di sekitar kawasan ini. – UTUSAN