Kita tidak mahu lahirkan ‘sampah’ dalam industri - Erra Fazira - Utusan Malaysia

Kita tidak mahu lahirkan ‘sampah’ dalam industri – Erra Fazira

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SENTIASA dipuji kerana kekal cantik meskipun kini usianya sudah menjangkau angka lima, kedudukan Erra Fazira sebagai seorang primadona tanah air nampaknya seakan tidak tergugat walaupun umum tahu, saban hari ada sahaja pendatang baharu mencari peluang dalam industri seni.

Namun, untuk bertahan selama tiga dekad dalam dunia seni penuh pancaroba ini tentunya bukan satu perjalanan yang mudah dan Erra telah membuktikan kecantikan rupa paras sahaja bukan satu senjata untuk kekal relevan sebagai seorang artis.

Mungkin kedengaran klise, tetapi tanyalah kepada mana-mana anak seni sejati, baik dalam bidang lakonan, nyanyian atau apa sahaja berkaitan dunia seni, jika tiada bakat, cantik sahaja tidak akan memberi jaminan untuk seseorang itu bertahan lama.

Bersetuju dengan perkara ini, Erra tidak menolak, sebagai selebriti atau artis, kecantikan fizikal sering dijadikan sebagai umpan untuk menarik peminat atau penonton.

“Tetapi, bagi saya, melalui fizikal sahaja ia tidak akan pergi jauh terutama apabila kita memberikan satu persembahan yang tidak ada mutu. Di situ, akan wujudlah kata-kata kritikan contohnya ‘alahai, dia ini harapkan muka sahaja cantik,tampan tetapi bakat tidak seberapa’.

“Ya, memang. Penampilan itu sangat penting kerana daripada zaman dahulu lagi, jika disebut primadona atau pelakon layar, semuanya ada standard kecantikan tertentu dan eksklusiviti, iyalah, sebagai artis bukan.

“Namun, harus diingat. Jika hanya kecantikan sahaja yang dia miliki, ia tidak akan memberi jaminan kerjaya seninya mampu bertahan lama, sebabnya, ia tidak didatangkan atau seiring dengan bakat. Itu yang kita tidak mahu. Kita tak mahu melahirkan ‘sampah-sampah’ dalam industri,”katanya.

Erra berkata demikian semasa ditemui pada program forum Intuisi Revolusi Emas Festival Filem Malaysia (FFM ke-33) anjuran  Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), baru-baru ini.

Tidak cuma itu, tambah pelakon dan penyanyi ini, dia juga percaya, setiap pendatang baharu yang ingin meneroka peluang dalam industri seni hiburan harus tahu membawa diri dan banyak belajar daripada pengkarya-pengkarya senior yang tentunya lebih berpengalaman.

Faktor ini penting bagi Erra kerana sikap yang baik juga mampu membantu menambah kualiti dalam diri seseorang pelakon itu.

“Kita pun kena belajar daripada orang-orang lama, belajar melalui pengalaman mereka. Apabila ia menjadi pengalaman sendiri, ia mampu meningkatkan prestasi kita dari semasa ke semasa. Walaupun mungkin kita pernah menang anugerah terbaik, tetapi kita kena ada peningkatan kerana yang terbaik akan sentiasa dilahirkan dari semasa ke semasa.

“Saya juga percaya, sebagai pelakon atau anak seni, kita kena harus saling ‘memberi’ dalam tugasan. Ini bukan untuk diri sendiri, tetapi untuk industri juga. Nak jaga ketrampilan itu tidak salah pun sebab saya sedar, sekali anda bergelar artis, memang kecantikan dan keterampilan harus dijaga sampai bila-bila.

“Cuma, semua itu harus seiring dengan pesona lakonan. Bukan hanya pesona diri sahaja. Kalau menang anugerah pun, ia bukan sesuatu yang ‘ultimate’ dan kita berhenti. Tetapi perjuangan seni itu harus diteruskan sampai bila-bila,”ujarnya.

Bukan beban

Sementara itu, ditanya mengenai sejauh mana kemenangan sesebuah trofi atau anugerah berprestij mampu memberi impak kepada seseorang pelakon, Erra tidak menafikan perkara tersebut.

Mengambil contoh dirinya sendiri, saat menggenggam trofi Pelakon Wanita Terbaik semasa penganjuran FFM ke-15 dan FFM ke-18, tekanan itu dirasainya terutama bagaimana mahu mencapai jangkaan lebih daripada semua pihak.

“Tipulah kalau memenangi sesebuah anugerah tak mampu memberi impak. Bahkan, mereka yang tercalon sebagai top 5 juga sudah mampu merasainya termasuk pengarah, penulis skrip, kru dan semua yang terlibat.

“Apabila dinobatkan dengan anugerah, ia membuatkan prestasinya semakin meningkat dan selepas itu orang ramai juga akan menjangkakan lebih dari diri kita. Contohnya macam saya sendiri setelah meraih anugerah di FFM.

“Populariti tidak ada kena mengena dengan lakonan tetapi anugerah yang diraih memberi impak dari segi kepercayaan para karyawan dan penonton terhadap kita. Maka dengan adanya kepercayaan itu akan adalah karya-karya lebih berat.

“Saya sendiri merasakan bebannya itu tetapi anugerah yang diterima harus dilihat sebagai pemangkin untuk kita terus memberikan yang terbaik. Lagipun kita sebagai pelakon ini sedang memikul amanah orang dalam tugasan yang dibawa, ia satu tanggungjawab,”katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya