Kita tidak dapat Taylor Swift tapi dapat artis lain - Hannah Yeoh

Kita tidak dapat Taylor Swift tapi dapat artis lain – Hannah Yeoh

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kepelbagaian budaya yang terdapat di dalam Malaysia menjadikan negara sebagai antara lokasi tumpuan artis daripada seluruh pelusuk dunia untuk melakukan persembahan atau konsert.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, melalui perbincangan yang diadakan bersama pengendali konsert mendapati Malaysia mampu membawa banyak artis atau penyanyi daripada pelbagai negara lain.

Oleh kerana itu, kata beliau, kerajaan akan melaksana pendigitalan untuk menampung kehendak pengendali konsert.

Jelasnya, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) sedang membangunkan sistem tempahan untuk acara berskala besar di vanue utama dan dijangka akan mula dilaksanakan pada tahun hadapan.

“Tempahan vanue sebelum ini dilakukan secara manual dan kurang telus. Saya mengadakan perbincangan dengan 16 syarikat, mereka telah menyatakan bagaimana mereka mahu membawa masuk banyak artis (ke dalam negara). Malaysia ada keunikan ini.

“Walaupun kita tidak dapat Taylor Swift tetapi disebabkan kepelbagaian masyarakat di sini, kita dapat artis dari Hong Kong, China, Hindustan, Tamil, Indonesia, Korea, Jepun, Eropah dan artis Melayu tempatan. Ini kerana pasarannya besar di sini,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan dari Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) apakah rancangan atau langkah-langkah akan diambil oleh PSM untuk menampung permintaan tinggi daripada artis luar negara.

Dalam pada itu, Hannah (PH-Segambut) berkata, sebanyak RM2.147 juta hasil sewaan vanue direkodkan setakat Oktober lalu dengan 26 penganjuran acara sukan di Kuala Lumpur Sports City (KLSC).

Bagaimanapun, katanya, sebanyak RM8.5 juta hasil sewaan vanue direkodkan untuk tempoh sama bagi 54 acara bukan sukan.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kutipan hasil sewaan vanue sehingga Oktober adalah RM10.647 juta dan hasil tahun ini merupakan hasil paling tinggi yang pernah direkodkan oleh KLSC,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan melakukan beberapa inisiatif untuk menambah baik perkhidmatan bagi menampung permintaan dan menepati keperluan penganjur konsert.

“Antaranya mempelbagaikan fungsi penggunaan Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, sebelum ini stadium tersebut hanya tertumpu kepada pertandingan dan latihan hoki sahaja. Namun, kini ia merupakan salah satu vanue yang boleh dipilih bagi penganjuran konsert.

“Selain itu, PSM sedang menyediakan dua tapak semaian rumput seluas lapan ekar untuk digunakan sebagai rumput gentian yang mampu ditukar. Ia menggunakan konsep lay and play apabila kita perlu. Sebagai contoh, selepas konsert terdapat perlawanan bola sepak dalam tempoh terdekat. Ini dapat mengoptimumkan penggunaan Stadium Nasional Bukit Jalil,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya