PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menggempur aktiviti menyeludup atau premis menyimpan stok minyak masak peket bersubsidi serta gula bagi mengelakkan ketirisan negara.
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, oleh itu, kerjasama orang ramai diperlukan untuk membuat aduan dalam merealisasikan ‘Kita Gempur’.
“KPDN akan serbu, tetapi sebelum serbuan dilakukan, perlu adanya aduan dan risikan.
“Oleh itu kita minta kerjasama orang ramai sekiranya ada masalah atau maklumat melibatkan penyeludupan minyak masak untuk diadukan kepada pihak KPDN,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Semalam media melaporkan, pihak KPDN menggempur sebuah restoran di ibu kota yang menyembunyikan bekalan minyak masak paket bersubsidi dalam kuantiti banyak di sebuah setor di premisnya.
Dalam operasi pada 5 petang itu, sebanyak 260 kilogram (kg) minyak masak paket dua jenama bernilai RM650 turut disita.
KPDN Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur berkata, operasi dilakukan hasil aduan diterima pihaknya membabitkan premis itu yang menerima bekalan minyak masak paket daripada sebuah lori ‘bonded’ dalam kuantiti banyak.
Tambah Fuziah, pihaknya juga sedang dalam usaha mengkaji mekanisme untuk menjejaki rantaian pengedaran minyak masak bersubsidi termasuk penggunaan nombor kumpulan pada setiap peket barangan itu.
Katanya langkah itu dilakukan untuk membanteras ketirisan minyak masak bersubsidi sama ada di peringkat peruncit, pemborong dan pembungkus. – UTUSAN