Kilang tayar terpakai ‘kebal’?

Kilang tayar terpakai ‘kebal’?

PEMANDANGAN dari udara menunjukkan satu daripada kilang memproses tayar terpakai yang masih beroperasi di Kulai, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sekurang-kurangnya tiga kilang tayar terpakai didapati terus berdegil beroperasi di kawasan Perindustrian Kulai, Johor walaupun premis-premis itu pernah diarahkan tutup selepas pendedahan akhbar ini pada Februari lalu kerana tidak mengikut prosedur pengoperasian yang sah.

Berdasarkan tinjauan Utusan Malaysia sekali lagi di tiga kilang terbabit, aktiviti pemprosesan tayar terpakai dilihat aktif semula dengan pergerakan pekerja dan kenderaan lori mengangkut timbunan tayar jelas kelihatan.

Keadaan premis kilang itu dari kawasaan luar sememangnya nampak ber­tutup dan berkunci di keli­li­ngi zink, seolah-olah tidak ada sebarang aktiviti dijalankan di kawasan seluas kira-kira satu hingga dua hektar itu yang dipercayai bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Bagaimanapun, tinjauan melalui udara mendapati, aktiviti kilang tersebut didapati aktif beroperasi dengan longgokan ribuan tayar terpakai dilihat bersepah selain bahan debu karbon hasil pembakaran tayar diletakkan di tempat terbuka yang berisiko berlaku pencemaran alam sekitar.

Keadaan persekitaran yang kotor di premis itu masih sama dengan tidak ada sebarang penambahbaikan dibuat sekiranya mereka dibenarkan beroperasi semula.

Kelihatan tidak ada penggunaan sistem boiler untuk pembakaran dan sistem kawalan pencemaran udara seperti disyaratkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Pada Mei lalu, Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) pernah mengeluarkan tiga kompaun terhadap dua kilang memproses pyrolisis di Jalan Seelong, Kulai yang disyaki boleh mengakibatkan pencemaran alam sekitar.

Ia selepas pendedahan dibuat Utusan Malaysia dan tindakan diambil menerusi operasi bersepadu yang dijalankan bersama agensi berkaitan dan dua premis terbabit turut dikenakan tindakan tutup oleh Jabatan Perlesenan MPKu.

Namun, ia menimbulkan tanda tanya apabila kilang-kilang itu didapati beroperasi semula.

Pengoperasian kilang tayar terpakai itu juga adalah satu daripada bahan buangan berisiko kerana mengandungi toksik jika tidak dikendalikan dengan betul.

Tindakan penyimpanan, pembuangan, pembakaran tayar yang tidak terurus boleh menyumbang kepada pencemaran selain pembiakan nyamuk aedes.

Berdasarkan siasatan, sumber pirolisis hasil pemprosesan tayar terpakai daripada ketiga-tiga kilang itu mampu mengutip keuntungan hampir RM2.5 juta sebulan atau sekurang-kurangnya RM27 juta setahun. Ketiga-tiga kilang ini dipercayai sudah beroperasi lima tahun lalu.

Berdasarkan sumber industri, lebih 15 kilang tayar terpakai termasuk kilang kitar semula dipercayai beroperasi secara haram di Kulai sehingga menjejaskan industri lain seperti elektrik dan elektronik yang semakin berkembang di daerah itu.

Turut menjadi tanda tanya, bagaimana kilang-kilang ini mendapatkan bahan buangan (tayar terpakai) untuk pengeluaran sumber pyrolisis ini sekali gus menunjukkan kelemahan dalam sistem pengurusan sisa. 

Jabatan yang berkaitan harus menyiasat dengan teliti sumber bahan mentah untuk kilang dipercayai haram ini dengan menutup segala ‘lubang’ bagi menambah baik mekanisme kitar semula sisa buangan demi melindungi alam sekitar.

Mengikut perkiraan, kilang-kilang haram itu mampu menjana pendapatan sehingga RM93 juta sebulan dan mereka mampu mengaut keuntungan 100 peratus tanpa perlu membayar sebarang cukai kepada kerajaan dan keperluan lesen berkaitan.

Ia tentunya merugikan dan satu kehilangan besar kepada pendapatan Kerajaan Negeri Johor dengan sekurang-kurangnya RM50 juta boleh diperoleh melalui sumber pendapatan daripada hasil industri yang bertapak di negeri itu. 

Keluaran Dalam Negeri Johor (KDNK) Johor pada tahun 2022 misalnya, mencatatkan nilai RM142.1 bilion iaitu menyumbang kepada 9.4 peratus (mengikut harga malar) kepada KDNK nasional, mengikut rekod Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri Johor.

Sektor pembuatan dan perkhidmatan mendominasi struktur ekonomi masing-masing dengan nilai KDNK RM 42,949 bilion (30.2 peratus) dan RM 75,672 bilion (53.3 peratus).

Johor pada masa ini adalah destinasi yang menjadi pilihan pelabur domestik dan luar negara serta memangkin negeri itu untuk mencapai potensi maksimum dalam pertumbuhan ekonomi.

Namun, kewujudan kilang-kilang haram seumpama ini merencatkan peluang ekonomi Johor untuk terus berkembang apabila pelabur tidak berani untuk masuk kerana terpaksa bersaing dengan industri haram.

Justeru, pihak berkuasa terlibat terutama pihak berkuasa tempatan perlu lebih agresif membanteras kilang-kilang ini melalui penguatkuasaan secara serius kerana mereka yang terlibat seolah-olah tidak takut kepada undang-undang.

Pada masa sama, pemantauan perlu dibuat supaya pembinaan kilang-kilang mematuhi kawasan yang digazetkan sama ada dikhaskan untuk kawasan industri berat atau sederhana demi kelestarian alam dan kesihatan penduduk. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya