Tuah nyata menyebelahi Kilafairy apabila si empunya badan dijemput sebagai penyanyi undangan untuk memeriahkan lagi Konsert Bollywood Udit Narayan Live in Kuala Lumpur 2024 yang bakal berlangsung pada 28 Disember ini.
Untuk segelintir pihak yang mungkin tidak tahu, Kilafairy selain berlakon, juga mempunyai bakat terpendam sebagai penyanyi yang menyaksikan darah seni suara yang mengalir itu diwarisi daripada Allahyarham ibunya, penyanyi, Rohana Jalil.
Namun, apa yang lebih menarik, kebolehan Kilafairy dalam menyanyikan lagu-lagu berentak Bollywood sebenarnya sangat dipuji kerana ia tidak kedengaran menjengkelkan.
Cukup lunak dengan segala lemak manis, semuanya bagaikan terbungkus rapi dalam satu lontaran suara yang begitu memukau persis penyanyi hebat asal di Bollywood.
Justeru, ketika tawaran untuk berada sepentas dengan seorang penyanyi bertaraf legenda hidup seperti Udit Narayan, sukar untuk wanita dengan nama asalnya Syakila Nisa Jahangir Khan ini menolak lantaran peluang sebegitu bukan selalu ada.
“Sehingga sekarang pun saya masih terkejut. Masih terasa adakah ini semua benar? Bayangkan, daripada kecil, saya sudah sering menyanyikan lagu Hindustan, tiba-tiba datang peluang untuk berada sepentas dengan Udit Narayan, ini semua macam mimpi!
“Sebenarnya, saya memang meminati Udit. Satu sebab, suaranya sangat mengena dengan aktor Shah Rukh Khan (SRK). Kalau SRK melakonkan adegan menyanyi, hanya suara Udit sahaja yang bagi saya sangat kena dengannya.
“Tak dapat bayangkan saya pula bakal sepentas dengannya menerusi konsert itu. Apa pun, Alhamdulillah atas rezeki yang Allah SWT berikan ini. Cuma, iya, kalaulah arwah mama masih ada, dia mesti sangat gembira,”katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Berkongsi lanjut, cerita Kilafairy, sejak dirinya berusia lapan tahun, lagu-lagu Bollywood dan Hindustan sentiasa menjadi halwa telinganya memandangkan keluarga di sebelah bapanya juga merupakan keturunan Pakistan.
Berikutan itu, kata pelakon berusia 33 tahun ini, ketika pelawaan itu datang, hatinya penuh berbunga-bunga meskipun gementar turut dirasa.
“Gembira, bersyukur, rasa nak pitam, gementar, semuanya seakan bercampur-baur. Pada mulanya, pihak penganjur menghubungi saya untuk membantu membuat promosi konsert di media sosial. Tetapi mungkin mereka berubah fikiran setelah membuat sedikit kajian yang saya juga boleh menyanyikan lagu-lagu Hindustan.
“Saya anggap ini memang rezeki. Lagipun, saya sendiri memang sangat meminati lagu-lagu Udit terutamanya daripada filem Devdas, filem Taal dan Maan. Kalau diikutkan, memang semua lagu nyanyiannya saya suka,”ujarnya.
Jelas Kilafairy, dunia Bollywood sangat dekat di hatinya lantaran ketika proses membesar, lagu-lagu dan filem Hindustan sentiasa menjadi pilihannya.
Justeru, bagi diri Kilafairy, Bollywood bukan sekadar dunia seni, tetapi merupakan ‘rumah’ buat dirinya.
“Saya anggap dunia Bollywood itu seakan ‘rumah’ sebab ia sangat dekat dengan hidup saya. Bila mendengar lagu-lagu atau menonton filem lama Hindustan, ia seakan mesin masa buat saya kembali semula mengingati kenangan-kenangan ketika kecil dan remaja.
“Kalau dengar Hindustan punya lenggok nyanyian juga berbeza dengan lenggok lagu tradisional kita. Pendek kata, memang menusuk jiwa. Malah kalau nak tahu juga, saya ini banyak belajar mengenai cara dan ekspresi lakonan menerusi filem-filem Bollywood.
“Saya rujuk bagaimana cara aktor dan aktresnya melakonkan ekspresi menangis, bagaimana cara mereka serlahkan perasaan bahagia dan sebagainya, semuanya dari naskhah filem Bollywood,”katanya.
Tidak cuma itu, secara peribadi, Kilafairy juga mengakui dunia muzik Bollywood sangat dekat di hatinya kerana kebanyakan lagu mereka mempunyai ‘jiwa’.
“Pendek kata semualah, dari muzik hinggalah ke filem-filem mereka. Genre lagu yang saya minati adalah R&B, Soul dan Hip Hop kerana ketiga-tiga ini mempunyai ‘jiwa’ dan unik. Bollywood juga begitu, jadi sebab itulah saya suka dengan naskhah-naskhah mereka.
“Mungkin sebab saya pun membesar dalam sebuah keluarga yang juga meminati naskhah Bollywood, jadi ia tidak asing buat saya. Rasanya, hanya orang yang betul-betul minat dunia Bollywood akan faham perasaan saya ini,”katanya.
Mama selalu sokong
Dalam pada itu, kongsi Kilafairy, dia juga mengakui tidak pernah mengikuti sebarang kelas vokal khusus untuk menyanyikan lagu-lagu Hindustan sebelum ini.
Disebabkan itu, penyanyi ini sangat terharu apabila ada kalangan peminat memuji lenggok nyanyiannya membawakan lagu Hindustan dan menganggap bakatnya itu satu kurniaan Ilahi.
“Saya ingat lagi, masa kecil, ketika saya sedang berlatih menyanyi, mama ada di sebelah. Dia pun hairan macam mana saya boleh buat lenggok macam penyanyi Hindustan. Saya jawab tak tahu. Arwah mama pun cuba buat tetapi tak sama macam saya katanya.
“Arwah mama selalu minta saya ajarkan dia cara nyanyian begitu, tetapi bagi saya mama juga mempunyai suara yang unik dan ada identiti sendiri. Vokalnya bersih dan bulat. Namun bila saya nyanyi lagu Hindustan, dia pula suruh saya ajar.
“Mungkin saya belajar daripada pengamatan daripada filem-filem dan dengar lagu sahaja. Pun begitu, saya fikir, mungkin selepas ini nak ambil kelas vokal supaya dapat asah lagi suara dengan lebih baik,”katanya.
Pada masa yang sama, Kilafairy juga mengakui, persembahannya di konsert bersama Udit kelak akan didedikasikan buat arwah ibunya.
Kata pelakon ini, sejak dari dahulu, arwah ibunya itu merupakan penyokong nombor satu kerjaya seninya.
“Dia memang penyokong nombor satu terutama bila saya nyanyikan lagu-lagu Hindustan. Dia sangat suka. Jauh di sudut hati, saya sangat berharap dia ada di sini. Tentu seronok kalau dia dapat tengok saya buat persembahan itu nanti.
“Tetapi saya bersyukur sebab nanti papa dan keluarga saya yang lain akan hadir menonton persembahan itu nanti. Cuma, untuk keseluruhan persembahan,iya, saya dedikasikan kepada arwah mama.
“Kalaulah dia ada, mesti dia akan menjerit suka. Saya rindu dia sangat. Dulu pun, dia nak sangat saya jadi penyanyi tetapi saya pilih lakonan sebagai jalan kerjaya seni. Begitulah ceritanya,”katanya.