KUALA LUMPUR: “Bila tengok reaksi ibu apabila saya diumumkan sebagai juara, mata saya berkaca.”
Demikian komen Kiki Fateeha mengenai kemenangannya dalam program The Chosen One 2024, semalam.
Penyanyi cilik kelahiran Sabah itu berkata kejuaraannya itu didedikasikan buat ibunya yang bergelar ibu tunggal empat orang anak.
“Kemenangan ini adalah untuk mama. Saya hargai pengorbanannya membesarkan kami adik beradik.
“Saya berterima kasih kepada dia yang sentiasa menyokong minat nyanyian saya,” katanya.
Semalam, Kiki menumpaskan tiga peserta lain, sekali gus dinobatkan juara program berkenaan.
Penyanyi berusia 13 tahun yang dilatih vokalis Drama Band, Aepul Roza itu membawa pulang hadiah utama RM30,000, trofi dan sebuah lagu terbitan Rocketfuel Entertainment.
Kiki pada malam kemuncak The Chosen One 2024 mempersembahkan lagu Kau Kekasihku dipopularkan Datuk Seri Siti Nurhaliza pada pusingan pertama.
Manakala, penyanyi ini terus ‘membeli jiwa’ juri dan penonton menerusi persembahan bertenaga membawakan lagu Butter (BTS) dan Jangan Kau Mimpi nyanyian Allahyarham Siti Sarah Raisuddin.
Naib juara disandang penyanyi cilik kelahiran Johor, Akhil Mikhail yang berusia 11 tahun.
Tempat ketiga dan keempat masing-masing dirangkul Atikah Rose, 17, dan Azry Sabri, 15.
Malam kemuncak The Chosen One 2024 menampilkan barisan juri terdiri daripada Datuk Awie, Jaclyn Victor, Ziana Zain dan Ajai.
Program tersebut dihoskan pengacara sensasi Jihan Muse dan Haziq Hussni.