KOTA BHARU: Kerajaan menggunakan khemah-khemah milik Agensi Pengurusan Bencana Negara Malaysia (Nadma) dari negeri-negeri yang tidak terjejas dengan banjir ketika ini untuk membantu rakyat Kelantan yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bantuan itu selepas beliau menerima maklumat PPS di negeri ini mengalami kekurangan khemah untuk mangsa-mangsa banjir.
“Saya telah arahkan Nadma untuk menghantar khemah-khemah yang ada di dalam stor agensi itu dari negeri lain yang belum dilanda banjir ke Kelantan.
“Khemah-khemah itu akan dibawa ke sini untuk diedarkan ke 550 buah PPS yang berdaftar,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tapang di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memberitahu, kerajaan membenarkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dijadikan PPS selepas kemudahan sedia ada sudah penuh.
Katanya, ketika ini MRSM Tumpat telah dijadikan sebagai PPS untuk menempatkan mangsa banjir.- UTUSAN