JOHOR BAHRU: Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini berjaya menghasilkan makanan ternakan, MoringaPro Pellet yang jimat sehingga 70 peratus berbanding makanan sedia ada.
Pensyarah Kanan di Jabatan Biosains, Fakulti Sains UTM, Dr. Mira Panadi berkata, nilai berkenaan jauh lebih rendah berbanding harga palet komersial ketika ini yang boleh mencecah antara RM3.50 hingga RM4.10 sekilogram.
“Produk ini pastinya dapat mengurangkan kos pembelian makanan ternakan dalam kalangan petani tempatan ekoran peningkatan harga makanan ternakan daripada soya, jagung dan bijirin sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sini.
Produk yang sudah dipatenkan dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), itu dihasilkan daripada moringa oleifera atau lebih dikenali sebagai daun moringa atau kelor.
“Daun moringa dijadikan sebagai sumber protein utama dan diperkaya dengan vitamin A, C, E serta mineral penting seperti kalsium, zat besi dan kalium.
“Formulasi inovatif ini menyokong kesihatan ternakan dengan hasil yang lebih baik berbanding makanan konvensional.
“Malah bentuk palet juga dapat mengurangkan kesan anti nutrien, sekali gus menjadikannya lebih berkesan dan selamat,” katanya.
Inovasi berkenaan meraih pingat emas pada Pameran Seni Industri dan Teknologi (INATEX) UTM, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, bulan lalu. – UTUSAN