ALOR GAJAH: Kekurangan pegawai dan anggota di lapangan serta implikasi kewangan membabitkan logistik dan tuntutan elaun menjadi cabaran kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan strategi meningkatkan keberadaan (omnipresence) bermula Januari tahun depan.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pihaknya telah mengemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk menggunakan sebahagian besar peruntukan tambahan yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2025 bagi memenuhi keperluan tersebut.
Kata beliau, bilangan penguat kuasa yang terhad menyebabkan penempatan pegawai dan anggota tidak boleh dibuat mengikut jumlah pentadbiran daerah.
“Setakat ini Bahagian Penguat Kuasa KPDN mempunyai 75 pejabat di seluruh negara termasuk ibu pejabat negeri, cawangan dan sub cawangan. Contohnya, KPDN Cawangan Kapit, Sarawak mempunyai keluasan seliaan terbesar iaitu 38,934 kilometer persegi tetapi kita hanya mempunyai 14 pegawai penguat kuasa tetap.
“KPDN Cawangan Sandakan, Sabah menyelia kawasan seluas 28,205 kilometer persegi dengan kekuatan 19 penguat kuasa tetap. Cawangan Johor Bahru, Johor pula mempunyai kepadatan penduduk dan premis perniagaan tinggi,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Sains Penguatkuasaan KPDN 2024 di sini, hari ini.
Terdahulu, seramai 284 orang pegawai melibatkan 244 pegawai lantikan baharu dan 40 pegawai Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL) serta Pegawai Sedang Berkhidmat (PSB) berjaya menamatkan latihan menjadikan jumlah keseluruhan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN seramai 2,464 orang di seluruh negara.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, strategi meningkatkan keberadaan penguat kuasa KPDN penting bagi memastikan aspek kawalan dan pemantauan diperkasakan termasuk melaksanakan tindakan susulan terhadap setiap aduan diterima.
Menurutnya, KPDN komited memperkukuhkan ketangkasan penguatkuasaan sekali gus memastikan wujudnya perdagangan dalam negeri yang sihat dan progresif serta melindungi kepentingan pengguna.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Armizan memberitahu, KPDN telah memeriksa 39,069 premis di seluruh negara bagi tempoh 1 Januari hingga 22 November lalu melalui Op Tiris 3.0.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 2,521 kes direkodkan dengan 604 individu berjaya ditangkap melibatkan warga tempatan dan asing dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM87.03 juta.
“Bagi Op Kesan pula sebanyak 4,200 premis telah diperiksa dengan 166 aduan diterima bagi tempoh 1 Januari hingga 23 November tahun ini,” ujarnya. – UTUSAN