Ketua Parti Vietnam To Lam lawat Malaysia esok, perkukuh hubungan dua hala

Ketua Parti Vietnam To Lam lawat Malaysia esok, perkukuh hubungan dua hala

TO LAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam, To Lam akan mengadakan Lawatan Rasmi ke Malaysia bermula esok hingga 23 November ini.

Ini merupakan lawatan sulung beliau ke Malaysia sejak dipilih sebagai Ketua Parti Komunis Vietnam pada Ogos lalu.

Menurut Kementerian Luar, To Lam akan disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam majlis sambutan rasmi, diikuti dengan mesyuarat dua hala.

“Perbincangan akan tertumpu kepada kemajuan hubungan dua hala serta kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan; pertanian dan komoditi; industri halal, tenaga, teknologi digital, dan komunikasi maklumat.

“Kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman dalam Memperkukuh Promosi Perdagangan antara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dengan Agensi Promosi Perdagangan Vietnam (VIETRADE),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wisma Putra memaklumkan, Memorandum Kerjasama antara PETRONAS dengan PETROVIETNAM akan dimeterai dalam bidang tenaga boleh diperbaharui.

Katanya, To Lam turut dijadual bertemu dengan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah,  dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul di Parlimen Malaysia.

Wisma Putra berkata, kali terakhir Malaysia menerima lawatan daripada Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam adalah pada Mac 1994, setahun sebelum penyertaan rasmi Vietnam ke dalam ASEAN.

Katanya, lawatan rasmi ini akan menambah nilai kepada hubungan erat antara Malaysia dan Vietnam, secara dua hala di bawah rangka Perkongsian Strategik, serta dalam ASEAN.

Jelasnya, Vietnam merupakan rakan dagang ke-11 terbesar Malaysia di peringkat global dan ke-4 terbesar dalam ASEAN pada tahun lalu.

“Nilai dagangan dua hala antara Malaysia dengan Vietnam direkodkan sebanyak RM80 bilion, dengan eksport dari Malaysia ke Vietnam bernilai RM52 bilion

“Syarikat-syarikat Malaysia telah melaksanakan lebih daripada 700 projek di Vietnam dengan pelaburan berjumlah AS$13.1 bilion,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya