KOTA TINGGI: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tenggara terbubar selepas ketuanya bersama ahli jawatankuasa mengumumkan keluar parti berkuat kuasa hari ini.
Bekas Ketua Bersatu Bahagian Tenggara, Hassan Rasid berkata, keputusan itu diambil
setelah melalui pertimbangan mendalam dan merujuk kepada beberapa isu yang dianggap kritikal.
Menurut beliau, mereka tidak lagi yakin dengan kepimpinan tertinggi yang dilihat gagal menguruskan parti, lemah, tidak amanah, tiada integriti serta gagal melaksanakan tanggungjawab.
“Tiga cawangan Srikandi cawangan yang layak bersidang iaitu Cawangan Bandar
Tenggara Selatan, Pengeli Timur, Pelepah Valley juga tidak tersenarai dalam perwakilan pemilihan Srikandi Bahagian Tenggara pada 26 Oktober sebaliknya Jawatankuasa Srikandi Bahagian Tenggara telah digantung daripada bersidang.
“Pada 31 Oktober 2024, pukul 6.30 petang, kami telah menerima mesej melalui WhatsApp mengenai pembatalan tiga cawangan di Tenggara bagi hari pemilihan yang akan berlangsung pada hari ini.
“Cawangan-cawangan yang terlibat adalah Kota Jaya Selatan, Bandar Tenggara Selatan dan Sungai Telor. Sementara itu, pihak kami hanya menerima surat rasmi semalam daripada pihak pengurusan,” katanya kepada Utusan Malaysia, hari ini.
Menurutnya, lima laporan polis juga dibuat termasuk daripadanya, Bersatu Cawangan Bandar Tenggara, Bersatu Cawangan Tenggara Selatan, Bersatu Cawangan Pelepah Valley dan Bersatu Cawangan Pengeli Timur terhadap isu pengurusan parti. – UTUSAN