PETALING JAYA: Aspek keselamatan dalam teknologi Internet-of-Things (IoT) perlu diberi keutamaan sejak di peringkat pembangunan sebagai langkah mengatasi ancaman jenayah itu.
Jurucakap Persatuan Internet-of-Things Malaysia, M. Pathmanathan berkata, ini termasuk penggunaan teknologi penyulitan seperti AES128 atau AES256 bagi melindungi data yang dihantar.
Selain itu katanya, penyelesaian seperti penggunaan kunci pengganti dapat meningkatkan keselamatan pada tahap penghantaran data.
“Dengan perkembangan pesat teknologi Internet-of-Things (IoT), keselamatan siber menjadi aspek kritikal yang tidak boleh dipandang remeh.
“Teknologi ini bukan sahaja perlu berfungsi dengan baik, tetapi juga wajib melindungi data pengguna daripada risiko kebocoran dan serangan siber,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, M. Pathmanathan berkata, setiap peringkat pembangunan IoT perlu dilengkapi dengan sistem pengurusan keselamatan yang kukuh.
“Setiap sambungan ke server mestilah melalui port yang selamat dan diperakui dengan sijil keselamatan.
“Walaupun IoT memberikan kemudahan dan inovasi yang luar biasa, kekurangan perlindungan keselamatan boleh membuka ruang kepada ancaman siber yang serius,”jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa teknologi ini bukan sahaja perlu berfungsi dengan baik, tetapi juga wajib melindungi data pengguna daripada risiko kebocoran dan serangan siber.
“Contoh seperti kes kamera keselamatan Ring menunjukkan betapa bahayanya mengabaikan keselamatan dalam IoT. Insiden serangan siber terhadap teknologi ini telah mencetuskan kebimbangan global mengenai privasi dan keselamatan pengguna,” ujarnya.
Sementara itu, beliau turut menggariskan langkah perlindungan terhadap serangan DDoS (Distributed Denial-of-Service), seperti menggunakan perkhidmatan Cloudflare untuk memastikan kelangsungan operasi sistem.
Pathmanathan juga menekankan perlunya standard antarabangsa seperti ISO 27001 untuk memastikan infrastruktur IT IoT mematuhi piawaian keselamatan tertinggi.
“Kami bekerjasama rapat dengan organisasi keselamatan global untuk membimbing syarikat tempatan dan antarabangsa agar memastikan keselamatan data pada tahap terbaik,” jelasnya.
Integrasi IoT yang kukuh dan selamat bukan sahaja penting untuk melindungi data peribadi tetapi juga untuk memastikan kepercayaan pengguna terhadap teknologi ini. Dengan ancaman siber yang semakin kompleks, pelabur dan pengguna perlu diyakinkan bahawa keselamatan adalah teras kepada setiap pembangunan IoT.
“Keselamatan dalam IoT bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan yang tidak boleh dikompromi,” tegasnya.- UTUSAN