PUTRAJAYA: Syarikat bas ekspres yang terbabit dalam insiden renjatan elektrik sehingga meragut nyawa seorang remaja lelaki di Pulau Pinang, didapati gagal dalam audit Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, susulan itu, keseluruhan operasi syarikat bas ekspres itu bakal berdepan dengan tindakan penggantungan permit.
“JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) akan rujuk kepada APAD (Agensi Pengangkutan Awam Darat), sebab untuk tindakan penggantungan (permit) adalah di bawah APAD.
“Jadi APAD akan keluarkan surat tindakan terhadap mereka untuk satu tempoh, tapi dalam tempoh itu mereka boleh buat rayuan kepada pihak pejabat menteri. (Ini kerana) penggantungan apa-apa permit itu ada proses dan langkahnya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Cahaya Kasih Madani dan Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan (MOT) di sini hari ini.
Sebelum ini, MOT menubuhkan pasukan petugas khas dan menggantung serta-merta operasi bas terbabit dalam insiden renjatan elektrik sehingga meragut nyawa seorang remaja lelaki dalam kejadian di Pulau Pinang, Jumaat lalu.
Loke dilaporkan berkata, pasukan petugas khas itu terdiri daripada JPJ, APAD dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).
Dalam perkembangan berkaitan, Loke turut menepis tuduhan liar dibuat oleh seorang individu yang mendakwa beliau menyalah guna kuasa dalam isu tersebut.
Bagaimanapun, tanpa menyatakan siapakah individu terbabit, beliau menjelaskan ketika ini hanya bas ekspres yang terlibat dalam insiden tersebut ditahan oleh pihak polis untuk siasatan lanjut berikutan berlakunya kematian.
“Jangan buat tuduhan tidak berasas terhadap kementerian termasuk terhadap saya, kononnya saya menyalah guna kuasa, apa sahaja tindakan kita adalah berlandaskan peruntukan undang-undang dan proses serta prosedur sedia ada akan dipatuhi sepenuhnya.
“Jadi tiada sesiapa dimangsakan, apa yang penting ialah kita hendak jaga keselamatan orang ramai. Apabila berlaku sesuatu insiden seperti ini, terutamanya menyebabkan kematian sudah tentu kita perlu ambil tindakan tegas dan segera,” katanya. – UTUSAN