Kes Najib saman Tommy, hakim tarik diri lagi

Kes Najib saman Tommy, hakim tarik diri lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pendengaran rayuan bekas Datuk Seri Najib Razak membabitkan kes saman bekas Perdana Menteri itu terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang menuntut ganti rugi RM1.9 juta tertangguh sekali lagi.

Ia selepas salah seorang hakim, Datuk Faizah Jamaludin menarik diri daripada mendengar rayuan kes berkenaan atas alasan alasan suaminya pernah bertugas di sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Selain Hakim Faizah, panel turut dianggotai oleh Datuk Hashim Hamzah yang mengetuai panel hakim dan Datuk Azmi Ariffin.

Terdahulu, peguam, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili bekas Ahli Parlimen Pekan itu membuat permohonan lisan agar Hakim Faizah menarik diri memandangkan suami beliau, Datuk Mohammad Faiz Azmi yang merupakan bekas Pengerusi Eksekutif PricewaterhouseCoopers Advisory Services Sdn. Bhd. (PwC) terlibat dengan pengurusan hutang dan pemulihan aset syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

“Memandangkan isu yang ditimbulkan mempunyai kaitan dengan 1MDB, maka saya perlu membuat permohonan ini. Ia tidak membabitkan integriti atau kebebasan hakim,”kata peguam itu.

Sementara itu, peguam Alan Adrian Gomez yang mewakili bekas Peguam Negara itu menyatakan beliau tidak nampak sebarang kaitan antara usaha mendapatkan semula aset dan pengurusan hutang berkaitan dengan kes saman membabitkan misfeasans (salah laku dalam jawatan awam).

Beliau bagaimanapun akur bahawa prinsip keadilan mestilah dilihat telah dilaksanakan dengan sewajarnya.

“Demi kepentingan keadilan, adalah lebih wajar untuk saya tidak mendengar rayuan ini,”ujar Hakim Faizah sebelum menarik diri. Mahkamah kemudian menetapkan 3 Disember ini untuk pengurusan kes rayuan itu.

Ini merupakan kali kedua hakim menarik diri daripada mendengar rayuan Najib berhubung kes saman itu.

Pada 4 Oktober 2023, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Azizah Nawawi menarik diri daripada mendengar prosiding terbabit atas alasan suaminya, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman pernah berkhidmat di bawah pimpinan Tommy di Jabatan Peguam Negara.

Najib merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 19 Ogos 2022 yang menolak permohonannya untuk menggugurkan dua peguam daripada mewakili Tommy dalam saman Najib terhadap bekas Peguam Negara itu.

Najib mendakwa pelantikan Gomez dan Lai Wei Shiung bagi mewakili Thomas adalah tidak sesuai kerana mereka adalah dari firma yang sama dengan Thomas.

Menurut pernyataan tuntutan dalam samannya, Najib mendakwa pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada perbuatan yang dirancang lebih awal oleh Thomas dan selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

Najib menuntut satu pengisytiharan bahawa Thomas sudah melakukan misfeasans serta menuntut kerugian berjumlah lebih RM1.9 juta yang meliputi kos perundangan yang ditanggungnya dalam menangani pendakwaan terhadapnya.

Pada 25 November 2022, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Thomas untuk membatalkan saman yang difailkan Najib, dan bekas perdana menteri itu kemudiannya memfailkan notis rayuan pada 22 Disember 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya