SEPANG: Perbicaraan kes seorang lelaki Syria yang memiliki pasport palsu terpaksa ditangguhkan kepada 5 Disember depan kerana tertuduh tidak pula faham bahasa Inggeris.
Sehubungan itu, Majistret Muhammad Bukhori Md. Ruslan menetapkan tarikh sebutan baharu itu untuk seorang jurubahasa Arab hadir menterjemahkan pertuduhan berkenaan.
Tertuduh berkenaan juga tidak diwakili peguam bela manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Jabatan Peguam Negara, Nur’ain Madihah Zulkifli.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang direkodkan sebagai pelancong berusia 31 tahun itu hendak menaiki pesawat Malaysia Airlines penerbangaan MH0004 ke London, Britain.
Lelaki tersebut namun terkandas di kawasan Pintu H2, Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini kira-kira pukul 4 petang pada 11 November lalu.
Pemeriksaan lanjut kemudian mendapati dokumen perjalanan bernombor 600666045 didapati bukan asli setelah semakan dengan Suruhanjaya Tinggi Britain di Kuala Lumpur.
Ketika siasatan dilakukan, Maher tidak mengaku bahawa pasport antarabangsa Britain yang dimilikinya itu adalah palsu dan juga sebenarnya sebagai sudah pun tamat tempoh.
Kes tersebut disiasat menurut Seksyen 56(j) Akta Imigresen 1959/1963 dan tertuduh telah didakwa di Mahkamah Majistret di sini di bawah Seksyen 12(1)(a) Akta Pasport 1966.
Terdahulu, ketika pertuduhan itu dibacakan dalam bahasa Inggeris, Maher mengaku bersalah dan Muhammad Bukhori kemudiannya mengenakan denda sebanyak RM10,000.
Bagaimanapun apabila ditanyakan mengenai usia tertuduh, dia seperti terpinga-pinga dan menjawab lain daripada yang sepatutnya setelah disoal berkali-kali dalam ayat mudah.
Majistret berkenaan yang tidak berpuas hati dengan situasi itu membatalkan pengakuan bersalah yang diucapkan Maher dan menetapkan tarikh baharu bagi sebutan semula kes. – UTUSAN