KAJANG: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan pihaknya telah membekukan akaun syarikat 30 Maple Sdn Bhd (30 Maple) yang dibeli FashionValet Sdn. Bhd. (FashionValet).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pembekuan akaun itu termasuk dalam sitaan keseluruhan akaun FV sebelum ini.
Dalam hal itu, beliau berkata, pihaknya masih belum boleh membuat sebarang pengumuman sama ada isu kerugian FV itu mempunyai unsur penyelewengan atau sebaliknya.
“Sama ada ia ada unsur penyelewengan atau tidak, ia tidak boleh diumumkan lagi dan diserahkan kepada pihak timbalan pendakwa raya (DPP).
“Siasatan ada menyita akaun daripada FV, tentang 30 Maple ini saya tak berapa perasan, tapi kalau tak silap ia telah dibekukan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Menembak SPRM Bersama Media di sini, hari ini.
Sebelum ini, SPRM telah menyiasat syarikat itu yang mengeluarkan produk tudung jenama Duck diasaskan usahawan dalam talian yang juga pengasas FV, Datin Vivy Yusof.
Ia susulan kerugian pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd. (PNB) dalam FV.
FV didakwa membeli 30 Maple dengan harga RM95 juta pada tahun yang sama Khazanah dan PNB melabur RM47 juta dalam syarikat berkenaan.
Azam pada masa sama menjangkakan siasatan kes itu akan diselesaikan dalam tempoh dua minggu.
Katanya, beliau telah mengarahkan pegawai untuk mempercepatkan siasatan dan setakat ini terdapat 14 orang saksi telah dipanggil.
“Ada lagi tambahan empat saksi dan kemungkinan ada dua atau tiga saksi lagi akan dipanggil.
“Kita akan kemukakan selepas dua minggu kepada DPP untuk buat keputusan sebagaimana cadangan yang dikemukakan,” katanya. – UTUSAN