KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan kes bekas pembantu penyelidik Perdana Menteri, Muhammed Yusoff Rawther yang didakwa mengedar dadah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.
Majistret M. S. Arunjothy memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Izzat Amir Idham.
Peguam bela, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Muhammed Yusoff tidak membantah permohonan tersebut.
Sementara itu, bagi kes memiliki dua pucuk pistol tiruan, Majistret S. Mageswary menetapkan tarikh baharu untuk sebutan semula kes tersebut.
Ia selepas pendakwaan memaklumkan mereka sedang membuat penelitian sama ada kedua-dua kes wajar dibicarakan bersama.
“Kami mahu meneliti sama ada kes memiliki pistol ini wajar dibicarakan bersama satu lagi kes yang dihadapi tertuduh, iaitu pengedaran dadah. Kami mohon tarikh singkat, jika dibenarkan sebulan daripada hari ini,” kata Izzat.
Muhammad Rafique berkata, pembelaan tidak membantah permohonan pendakwaan untuk membicarakan kedua-dua kes itu bersama.
Bagaimanapun, peguam terbabit memohon pendakwaan membekalkan segala dokumen berkaitan kes memiliki senjata api palsu sebagaimana dijanjikan dalam prosiding terdahulu.
Mageswary kemudian menetapkan 13 Disember ini untuk sebutan semula kes.
Pada 12 September lalu, Muhammed Yusoff, 31, didakwa atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram, dalam kenderaan dinaikinya, di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, pada jam 10.15 pagi, 6 September lalu.
Pada 9 Oktober lalu, Muhammed Yusoff didakwa sekali lagi di Mahkamah Majistret di sini atas satu pertuduhan memiliki dua pucuk pistol tiruan itu di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini, pada 9.25 pagi, 6 September lalu. – UTUSAN