IPOH: Perbicaraan kes bunuh pelajar lelaki tingkatan lima dihadapi pegawai kanan polis yang sepatutnya bermula hari ini ditangguh esok selepas tertuduh melantik peguam baharu.
Antara dilantik mewakili Deputi Superintenden Mohd. Nazri Abdul Razak, 45, ialah bekas Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid.
Mior Faridalathrash menjawat jawatan sebagai Ketua Polis Perak pada November 2020 sebelum bersara wajib pada Ogos 2022 dan diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya pada 31 Mac 2023.
Tertuduh turut diwakili peguam M. Athimulan dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.
Dalam prosiding di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet, Athimulan memaklumkan mahkamah pihaknya baharu dilantik dan memohon prosiding pada hari ini dilapangkan.
“Kami baharu mengambil alih kes ini pagi tadi dan diberikan 30 penyataan saksi dan sejumlah dokumen serta dokumen tambahan yang mana ia perlu disemak dan diteliti terlebih dahulu,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz memberitahu mahkamah pihaknya juga baharu dimaklumkan berkaitan perkara itu dan tiada bantahan terhadap permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan perbicaraan.
Selain Afzainizam, pihak pendakwaan turut diwakili Nasrul Hadi Abdul Ghani, V. Suloshani dan Low Qin.
Turut hadir, peguam pemerhati bagi keluarga mangsa iaitu Datuk Wan Azmir Wan Majid.
Sebelum ini, Mohd. Nazri, 45, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah diwakili peguam Jacky Loi Yap Loong, Lim Chi Chau dan M. Kuhan.
Pada 18 Disember 2023, di mahkamah sama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie, 17 di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di dalam daerah Kinta antara pukul 11.45 pagi hingga 12.40 tengah hari, 15 Disember 2023.