Kes buli UPNM: 13 individu diambil keterangan, siasatan masih berjalan

Kes buli UPNM: 13 individu diambil keterangan, siasatan masih berjalan

RUSDI MOHD. ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis masih menjalankan siasatan berhubung kes buli membabitkan seorang penuntut tahun satu Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) didakwa dipijak senior dalam kejadian pada 21 Oktober lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima laporan perubatan mangsa.

Katanya, pihak polis sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada pejabat Peguam Negara (AGC).

“Setakat ini seramai 13 individu diambil keterangan manakala kertas siasatan belum diserah pada AGC,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Isnin lalu, polis mengambil keterangan suspek iaitu pelaku senior yang didakwa memijak seorang penuntut universiti berkenaan di Ibu pejabat Polis Daerah Cheras.

Bagaimanapun, Rusdi dilapor berkata, suspek tidak ditahan manakala  seramai lima lagi saksi dirakam percakapan pada hari sama. 

Ahad lalu, polis mengesahkan seorang penuntut tahun satu universiti berkenaan cedera parah dengan keretakan tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak penuntut senior dalam kejadian pada 21 Oktober lalu.

Rusdi dilaporkan berkata, pihaknya menerima satu laporan pada kira-kira pukul 8.40 malam pada 8 November lalu.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 malam itu, mangsa yang berusia 19 tahun itu dikatakan berada di tepi padang kawad institusi pengajian itu sebelum dia dipanggil dan dipijak oleh penuntut tahun tiga.

“Akibatnya mangsa mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang,” katanya.

Tambah Rusdi, mangsa kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur berhubung kecederaan yang dialami.

Kes itu katanya disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya