Kes bauksit: Dipercayai ada unsur penyelewengan - Azam Baki

Kes bauksit: Dipercayai ada unsur penyelewengan – Azam Baki

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesyaki terdapat unsur penyelewengan berhubung kegiatan memunggah keluar hasil galian yang dipercayai mengandungi bauksit tanpa mengikut prosedur yang sah di sekitar Kuantan, Pahang.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kes berkenaan dalam peringkat sitaan akaun syarikat terlibat yang dikatakan memunggah hasil galian itu ke Terengganu. 

Katanya, seramai tiga individu telah ditahan termasuk seorang bergelar Datuk Seri iaitu watak utama dalam kegiatan tersebut.

“Kita dapati ada unsur penyelewengan sebab permit tidak dikeluarkan ke syarikat berkenaan.

“Di pihak SPRM kita telah mengambil tindakan sewajarnya termasuk menyita akaun syarikat berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita pada program Menembak SPRM Bersama Media di sini, hari ini. 

Semalam, SPRM menggempur kegiatan memunggah keluar hasil galian bauksit tanpa mengikut prosedur yang disyaki turut dilindungi oleh pegawai sebuah agensi di bawah kerajaan negeri sejak tahun 2022.

Dalam serbuan dijalankan oleh Bahagian Perisikan SPRM di sekitar Bukit Goh semalam, SPRM menahan tiga individu membabitkan dua pemilik syarikat dan seorang pegawai agensi terbabit kerana dipercayai terbabit rasuah bagi melindungi kegiatan berkenaan.

Dalam operasi itu, SPRM turut menyita wang tunai lebih RM26,000 dan tiga unit telefon bimbit daripada suspek dan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Katanya, berdasarkan risikan yang dibuat, kegiatan memunggah hasil galian di Bukit Goh itu dipercayai dilakukan tanpa mengikut prosedur yang sah di mana kebenaran hanya diberikan bagi memunggah hasil sedia ada yang telah digali sebelum 2022.

“Namun siasatan dijalankan mendapati, mereka turut melakukan kerja memunggah keluar hasil galian yang baru digali dan bagi melindungi kegiatan ini, beberapa pengusaha lori pengangkut bahan galian terbabit telah membayar wang rasuah kepada pegawai agensi berkenaan.

“Wang rasuah itu sebagai balasan untuk melindungi serta tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti terbabit dan SPRM kini masih dalam peringkat siasatan bagi mengenal pasti jumlah rasuah yang terlibat,” katanya.

Terdahulu, SPRM telah membuat pemeriksaan di sebuah lokasi penyimpanan hasil galian berkenaan di Jabor, Terengganu pada hari yang sama.

Di lokasi ini, sebanyak lima jentera iaitu empat unit excavator dan sebuah shovel loader selain tujuh lori pengangkut termasuk lima lori dumper telah diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Terengganu untuk tindakan siataan atas kesalahan di bawah Seksyen 425 Akta Kanun Tanah Negara 1965.

Selain sitaan di lokasi terbabit, sebanyak lapan unit lori pengangkut (tipper dumper) turut disita di bawah Seksyen 82 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan diserahkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana dipercayai membawa muatan melebihi kapasiti dibenarkan sewaktu pemeriksaan di sebuah persimpangan jalan di Gebeng. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya