Kertas siasatan empat anggota polis curi barang kemas sudah diserah kepada AGC

Kertas siasatan empat anggota polis curi barang kemas sudah diserah kepada AGC

RUSDI MOHD. ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kertas siasatan berkaitan empat anggota polis ditahan berhubung kehilangan barang kemas milik seorang wanita yang meninggal dunia di dalam kereta pada 1 Oktober lalu, telah diserah ke Pejabat Peguam Negara (AGC), pada Isnin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, polis telah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes tersebut.

“Kertas siasatan itu sebelum ini telah diserahkan kepada Bahagian D5 (Pendakwaan/Undang-Undang) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, sebelum dirujuk ke AGC.

“Kesemua empat anggota polis yang ditahan reman tiga hari sehingga Sabtu telah dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Pendekatan Kesedaran Kes Jenayah Seksual dan Penipuan Dalam Talian di Taman Tasik Metropolitan Kepong, di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya mencadangkan pertuduhan terhadap suspek di mahkamah.

“Status mereka masih bertugas dan kita menunggu tindakan lanjut,” katanya.

Pada Jumaat, media melaporkan empat anggota polis ditahan untuk siasatan kes kecurian barang kemas dikatakan milik seorang wanita yang ditemukan meninggal dunia dalam kereta di parkir sebuah kondominium di Setapak, di sini.

Rusdi berkata, tangkapan itu hasil siasatan dijalankan susulan satu laporan daripada seorang lelaki tempatan.

Katanya, kes itu pada awalnya diklasifikasikan sebagai Kertas Enkuiri Polis (KEP), namun selepas memperoleh beberapa keterangan, kes diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Tangkapan dilakukan terhadap anggota polis berpangkat konstabel hingga koperal berusia lingkungan antara 28 hingga 35 tahun.

“Pihak polis juga membuat rampasan membabitkan sekeping resit dan seketul logam berwarna kekuningan dianggarkan seberat 11.52 gram,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya