KOTA KINABALU: Biarpun parti tempatan perlu bersifat lebih dominan pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17), namun kerjasama dengan parti-parti Semenanjung akan tetap dijaga dengan baik.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, keperluan untuk menjadi dominan itu sesuai dengan hala tuju kepemimpinan parti.
“Keutamaan kita adalah ‘Sabah First’ dan kita akan sesuaikan dengan kita punya teras perjuangan tersebut.
“Namun, kerjasama dengan parti-parti dari Semenanjung akan tetap kita jaga,” katanya ketika ditemui selepas Seminar Penerangan Gagasan Rakyat sempena Persidangan Agung Tahunan, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), semalam.
Beliau berkata, pada PRN17 akan datang, Gagasan Rakyat hanya akan bertanding di kawasan yang diyakini boleh menang.
Mengulas lanjut katanya, pada PRN17, beliau percaya calon-calon yang akan diketengahkan pimpinan parti akan meliputi semua peringkat umur tidak kira orang lama mahupun anak muda.
“Semua golongan sama ada orang lama, orang baharu, wanita mahupun anak muda akan diberi tempat untuk menjadi calon pada PRN akan datang.
“Kita yakin semua calon yang akan diketengahkan adalah mereka yang benar-benar mampu menjadi pemimpin dan wakil parti yang akan meneruskan agenda perjuangan parti dalam membela rakyat serta memajukan Sabah,” katanya.
Dari segi jumlah calon muda, ujarnya, perkara itu belum boleh diumumkan kerana masih belum ada bilangan yang muktamad, namun beliau percaya, Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Hajiji Noor dan kepimpinan parti akan meneliti calon-calon muda yang boleh diketengahkan.
Gagasan Rakyat akan bertanding buat kali pertama pada PRN Sabah sejak parti tersebut dilancarkan pada 2 Mac 2023.
Pada masa ini, Gagasan Rakyat mempunyai 27 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk dua ADUN dilantik. – UTUSAN