ALOR GAJAH: Seorang wanita parah manakala tiga lagi cedera termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun selepas kereta dinaiki mereka terbabas dipercayai kerana mengelak babi melintas di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Rembia di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.50 malam itu, penumpang wanita berusia 38 tahun itu mengalami patah tulang pinggul dan tengkuk manakala pemandu kereta lelaki berusia 28 tahun cedera pada bahu kanan.
Turut terlibat dua anak lelaki tersebut masing-masing berusia empat dan dua tahun yang mengalami bengkak dan kecederaan kepala.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, kesemua mangsa menaiki kereta Nissan Almera dalam perjalanan dari Rembia menghala ke Paya Rumput untuk menghantar wanita itu pulang ke rumahnya.
“Kemalangan berlaku akibat tindakan pemandu yang cuba mengelak ke kiri jalan kerana dipercayai mengelak babi melintas di lorong kanan. Kereta tersebut kemudian terbabas ke lorong kiri sebelum terjatuh di cerun,” katanya.
Tambahnya, kesemua mangsa dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana gagal mengawal kenderaan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan. – UTUSAN