PUTRAJAYA: Kerajaan ketika ini tidak merancang untuk menyemak semula keputusan memilih syarikat U Mobile Sdn Bhd (U Mobile) sebagai pengendali rangkaian 5G Kedua Malaysia.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, langkah itu dianggap tidak perlu kerana pemilihan sudah dibuat secara bebas dan tidak melibatkan campur tangan kerajaan.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, keputusan memilih U Mobile itu dibuat secara sebulat suara oleh oleh ahli-ahli Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).
“Tidak (bercadang untuk semak semula). Dalam konteks pemilihan oleh MCMC, ia telah dilakukan secara bebas oleh pasukan teknikal dan diputuskan secara sebulat suara oleh ahli-ahli suruhanjaya.
“Pihak pentadbiran (kerajaan) tidak terlibat dan tidak masuk campur malah, saya perlu ingatkan bahawa ini (pemilihan U Mobile) bukan kontrak,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Katanya, beliau ingin jelaskan bahawa tidak ada dana awam yang terlibat dalam membangunkan rangkaian 5G Kedua Negara dan dari segi aspek pengurusan, tata kelola dan tadbir urus pula, ia berjalan dengan tertib, tidak ada campur tangan.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, U Mobile juga akan dikenakan syarat-syarat tertentu oleh MCMC bagi membangunkan rangkaian 5G Kedua Malaysia itu.
Menurutnya, syarat-syarat itu akan ditetapkan selepas MCMC mengambil kira pengalaman pengendali rangkaian pertama 5G iaitu Digital Nasional Bhd (DNB).
“Saya rasa agak pramatang untuk saya maklumkan apa-apa syarat yang akan dikenakan. Kalau kita lihat pengalaman sebelum ini (penggabungan antara Celcom dan Digi), penggabungan itu datang dengan sejumlah syarat yang dikenakan MCMC.
“Kalau kita lihat dalam pelaksanaan rangkaian 5G pertama di bawah DNB juga ada dikenakan syarat-syarat tertentu dan bagi rangkaian kedua sudah pasti akan ada syarat-syarat tertentu yang akan dikenakan,” katanya.
Katanya, sebelum syarat-syarat itu ditetapkan, MCMC akan memanggil pihak U Mobile untuk memahamkan apakah perbincangan terkini di antara syarikat itu dengan mana-mana syarikat yang ingin bekerjasama dengan mereka.
Katanya, syarat-syarat yang dikenakan itu kelak adalah bagi memastikan tidak berlaku satu keadaan yang tidak seimbang dalam ekosistem (telekomunikasi). – UTUSAN