Kerajaan pantau ‘Pejabat Keluarga’ elak aktiviti pengubahan wang haram

Kerajaan pantau ‘Pejabat Keluarga’ elak aktiviti pengubahan wang haram

AMIR HAMZAH AZIZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memantau aktiviti ‘Pejabat Keluarga’ bagi mengelak berlakunya aktiviti jenayah kewangan seperti pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pemantauan sentiasa dilakukan oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mengesan kewujudan aktiviti haram tersebut.

Kata beliau, kerajaan menyedari mengenai kebimbangan terhadap skim Pejabat Keluarga yang wujud.

“Skim ini masih dalam pemantauan Suruhanjaya Sekuriti terutama Bank Negara daripada segi Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) melibatkan pemindahan modal, ini akan dijaga dengan peraturan sedia ada.

“Kita percaya apa yang dilakukan kedua-dua entiti ini agar tidak ada isu-isu berkaitannya berlaku,” katanya semasa Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) yang memintanya menjelaskan kesediaan kerajaan melaksanakan kajian risiko terhadap kemunculan ‘Pejabat Keluarga’ di negara ini.

Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata, kerajaan berhasrat untuk menarik lebih banyak firma pengurusan individu kaya untuk beroperasi di negara ini.

Jelasnya, disasarkan keluarga dari dalam negara, serantau dan juga rantau luar seperti Timur Tengah, jangkaan julat aset di bawah pengurusan (AUM) untuk lima tahun pertama dianggarkan bernilai antara RM500 juta hingga RM1.2 bilion.

“Ini diikuti dengan julat pelaburan tempatan sekurang-kurangnya antara 40 juta ringgit hingga 110 juta ringgit yang akan disalurkan ke dalam sektor yang mempunyai pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pejabat Keluarga merupakan pemangkin pembangunan modal insan serta penggandaan ekonomi.

“Melalui syarat substantif tempatan seperti gaji minima sebanyak RM10,000, pejabat fizikal, perbelanjaan tempatan sekurang-kurangnya RM500,000 dan pelaburan tempatan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada aset di bawah pengurusan pejabat keluarga.

“(Ini) merancakkan peluang ekonomi baharu untuk sektor perkhidmatan profesional tempatan sekali gus merangsang penggandaan ekonomi,” katanya.

Tambahnya, situasi tersebut menggalakkan aliran global di mana sektor pertumbuhan Pejaba Keluarga dianggarkan akan meningkat sebanyak 75 peratus menjelang tahun 2030.

“Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) juga menganggarkan julat penggandaan ekonomi sekurang-kurangnya antara tiga kali ganda dan lima kali ganda daripada jumlah pelaburan tempatan dan perbelanjaan tempatan dalam lima tahun pertama.

“Sebagai syarat kelayakan kepada insentif yang diberikan kepada Pejabat Keluarga, mereka perlu memenuhi syarat pelaburan tempatan setiap tahun dan perbelanjaan tempatan seperti mana yang telah ditetapkan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya