Kerajaan Pahang didesak selesaikan masalah kontraktor, KMDI

Kerajaan Pahang didesak selesaikan masalah kontraktor, KMDI

JASRI Jamaluddin (tengah) bersama kontraktor-kontraktor PGBF menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap KMDI ketika sidang media di Royal Chulan, The Curve, di sini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pahang digesa menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh kontraktor Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) dan KMDI Holding Sdn. Bhd. (KMDI) dengan kadar segera.

JASRI JAMALUDDIN

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaluddin berkata, KMDI yang merupakan syarikat usahasama dengan kerajaan Pahang itu tidak melaksanakan tanggungjawab dengan baik selaku pemaju.

Menurut beliau, perkara tersebut menyebabkan kontraktor-kontraktor dilantik itu menghadapi kerugian sehingga RM30 juta secara keseluruhan.

Jelasnya, permasalahan dihadapi oleh kontraktor menyebabkan rumah generasi kedua Felda itu tidak akan siap sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“PGBF ini keperluannya mendesak, enam projek tersebut di daerah masih terbengkalai, saya sudah melawat kawasan-kawasan ini banyak kali. Anak-anak peneroka generasi kedua ni sudah menanti rumah mereka lebih daripada 10 tahun.

“Projek ini diserahkan kepada kerajaan Pahang pada 2021, kerajaan pula menganugerahkan ia kepada KMDI pada tahun seterusnya jadi ini merupakan tanggungjawab mereka untuk siapkan dengan melantik kontraktor-kontraktor.

“Masalah utama sekali adalah projek-projek ini tidak mendapat kelulusan atau kebenaran merancang, hanya tiga kawasan sahaja yang mendapatkan kebenaran tersebut. Kerja-kerja sudah dilakukan oleh kontraktor tetapi malangnya bayaran tidak dilakukan oleh KMDI,” katanya semasa sidang media, di sini.

Untuk rekod, projek PGBF yang bermasalah itu melibatkan tapak di Felda Jengka 1, Jengka 6, Jengka 12, Keratong 7, Bukit Sagu, Sungai Rentang dan Bukit Tajau.

Mengulas lanjut, Jasri yang juga pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pahang itu berkata, bekas Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun sebelum ini sudah pun membuat pertemuan bersama kontraktor-kontraktor terlibat pada tahun lalu.

Pada ketika itu, kata beliau, pertemuan tersebut menyaksikan satu persetujuan dicapai antara kontraktor dan pemaju.

“Malangnya, selepas ketiadaan Allahyarham dan diambil alih oleh exco baharu, semua perjanjian ataupun tindakan-tindakan yang perlu diambil tidak dilaksanakan KMDI.

“Jadi saya berharap kerajaan Pahang mengambil tindakan sewajarnya dan saya pasti jika tiada tindakan diambil, projek ini tidak akan siap dan akan bermasalah,” jelasnya.

Tambahnya, jika tiada tindakan daripada kerajaan negeri maka tindakan undang-undang akan diteruskan oleh kontraktor terlibat.
“Malah, kalau tiada tindakan daripada pihak kerajaan, maknanya mereka tidak mengambil cakna masalah rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya