Kerajaan negeri digesa baiki warung, pusat penjaja - PM

Kerajaan negeri digesa baiki warung, pusat penjaja – PM

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Kerajaan di semua negeri digesa menambah baik atau memperelokkan warung, gerai serta pusat penjaja kecil di negeri masing-masing bagi memberi keselesaan kepada orang ramai untuk  mengunjungi premis-premis tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pada masa  sama, mereka juga perlu memastikan bahawa premis perniagaan tersebut sentiasa bersih dan selesa untuk semua.

“Tak malukah kita? Bukan main hebat (pembangunan di) Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor Bahru (sebagai contoh). Tapi, bila tengok gerai, warung yang hampir 80 peratus rakyat kita pergi makan macam nak roboh, lampu tak menyala, tandas busuk dan kotor. Banggakah kita begitu?

“Sebab itulah bagi saya, penting untuk memperbaiki infrastruktur seperti tandas, bumbung dan lampu di kawasan perniagaan kecil bagi meningkatkan pengalaman rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan (HPPK2024) di Pusat Konvensyen PICCA, Butterworth Arena di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick; Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM), Datuk Zainal Abidin Abd. Majid serta beberapa kenamaan lain.

Pada majlis tersebut, Anwar turut membuat Peluncuran Dasar Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil Negara 2030 (D3PKN2030) selain menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Penjaja dan Penjaja Kecil 2024.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pengagihan pembangunan ketika ini perlu lebih holisitik dengan memberi fokus terhadap warung dan pusat penjaja kecil di kawasan sekitar perindustrian dan kawasan perumahan.

Ini kerana katanya, majoriti atau kira-kira 70 peratus pekerja dalam sesuatu organisasi itu adalah pekerja biasa.

“Sebanyak 70 peratus (pekerja biasa) itu di bawah iaitu pekerja kilang dan sebagainya. Mereka tak akan pergi ke restoran besar, tapi, mereka akan pergi beli-belah di pusat-pusat perniagaan kecil dan makan di gerai atau warung.

“Inilah sebabnya mengapa kita perlu beri perhatian dan sediakan tempat perniagaan yang selesa khususnya di kawasan perindustrian dan kawasan perumahan,” kata Perdana Menteri.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya