KUALA LUMPUR: Kerajaan mahu memperluaskan penggunaan Kod QR bagi urusan imigresen di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Johor untuk perjalanan keluar masuk ke Singapura, kepada semua jenis pengangkutan mulai tahun depan.
Perluasan penggunaan Kod QR kepada semua jenis pengangkutan lain akan dibuat secara berfasa.
Sasaran itu dibuat susulan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor, yang memutuskan untuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) memuktamadkan perolehan pada tahun ini juga.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, bagi memuktamadkan perolehan itu, KDN akan berbincang dengan Kementerian Kewangan (MOF) dalam masa terdekat.
Beliau berkata, sasaran untuk memperluaskan penggunaan Kod QR bagi semua jenis pengangkutan pada tahun depan adalah susulan jangkaan peningkatan pengguna di Tambak Johor daripada 116 juta kepada 150 juta setahun.
“Pada tahun depan Malaysia akan jadi Pengerusi ASEAN manakala tahun 2026 pula adalah Tahun Melawat Malaysia. Laluan Johor – Singapura dijangka menerima 150 juta (pengguna) berbanding 116 juta pada tahun 2023.
“Singapura adalah penyumbang utama dalam sektor pelancongan di ASEAN manakala Thailand pula di tempat kedua,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor, hari ini.
Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Saifuddin berkata, sebagai permulaan, perolehan Kod QR yang akan dimuktamadkan KDN digunakan oleh semua penunggang motosikal dan penumpang bas yang melalui Tambak Johor untuk ke Singapura.
Katanya, penggunaan Kod QR terhadap dua jenis pengangkutan iaitu penumpang bas dan penunggang motosikal mewakili 80 peratus pengguna harian di Tambak Johor.
“Sebanyak dua juta pengguna telah menggunakan Kod QR sepanjang ‘proof of concept’ yang dijalankan bermula 1 Jun dan dilanjutkan sehingga 30 November ini.
“Berdasarkan data analisis, sebelum penggunaan Kod QR, kira-kira 120 minit diperlukan (untuk masuk ke Singapura) sekarang hanya 15 hingga 20 minit sahaja tempoh menunggu pada waktu puncak,” katanya.
Minggu lalu, Saifuddin dilaporkan memaklumkan bahawa KDN memilih satu daripada tiga aplikasi Kod QR yang sedang menjalankan ‘proof of concept’ di BSI dan KSAB di Johor untuk perjalanan keluar masuk ke Singapura.
Tiga aplikasi tersebut adalah MyTrip, MyRENTAS dan MyBorderPass bagi menguji keberkesanan penggunaan Kod QR dalam mengurangkan kesesakan di pintu masuk negara dengan Singapura.
Sementara itu, Saifuddin berkata, 22 daripada 52 inisiatif yang mewakili 42 peratus usaha untuk menangani kesesakan di Tambak Johor telah siap dilaksanakan setakat ini.
“Pada masa sama, 10 inisiatif sedang dilaksanakan manakala bakinya masih belum dijalankan lagi. Semua inisiatif ini kayu ukurnya adalah mengurangkan kesesakan di Tambak Johor yang merupakan antara laluan sempadan paling sibuk di dunia,” katanya. – UTUSAN