Kerajaan Kelantan akui tidak boleh sekat orang berhibur di Thailand

Kerajaan Kelantan akui tidak boleh sekat orang berhibur di Thailand

MOHAMED Fadzli Hassan (kanan) bersalaman dengan para peserta ketika tiba di Majlis Perasmian Kelantan International Congress On Rafflesia di Kota Bharu, Kelantan hari ini. - UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengakui tidak boleh menyekat rakyat negeri ini termasuk anak muda untuk ke Thailand kerana mereka mempunyai pelbagai motif untuk pergi ke negara gajah putih itu.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan bagaimanapun berkata, kerajaan negeri lega apabila Kelantan bebas daripada pusat hiburan berunsur negatif termasuk kelab-kelab malam.

“Di mana-mana sahaja akan ada orang yang mencari perkara tidak elok namun sekurang-kurangnya mereka tidak boleh mencari hiburan berunsur negatif dan tidak bermoral di dalam negeri ini.

“Kita amat sedih dengan realiti yang didedahkan oleh Ketua Polis Kelantan (Datuk Mohd. Yusoff Mamat) tetapi sekurang-kurangnya benda itu (kelab malam) tiada di Kelantan.

“Orang kalau mahu cari benda tidak baik.. ke Mekah pun dia akan jumpa. Maknanya orang yang mencari benda tidak baik ini ada di mana-mana termasuk juga di Kelantan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Kelantan International Congress On Rafflesia, di sini hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, golongan muda negeri ini gemar ke kelab malam di Golok untuk berhibur setiap kali hujung minggu iaitu pada malam Jumaat dan Sabtu.

Kebanjiran golongan itu menyebabkan ada dalam kalangan mereka perlu menunggu ‘syif’ atau giliran untuk memasuki kawasan tersebut dan kemudian berhibur.

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan itu memberitahu, dua hari lalu Mohd. Yusoff meawat pejabatnya untuk membincangkan banyak perkara termasuk isu ramai anak muda Kelantan memasuki Thailand untuk berhibur.

Katanya, kerajaan negeri tidak pernah berdiam diri dalam perkara ini, malah akan berusaha lebih kuat memberikan kesedaran kepada mereka terutama golongan muda-mudi.

“Kerajaan negeri telah melaksanakan bermacam-macam perancangan untuk mengenal pasti permasalahan rakyat dalam sudut moral, akhlak dan sebagainya. Antaranya, membangunkan indeks takwa rakyat Kelantan melalui kerjasama dengan pelbagai universiti.

“Apabila tahu penyakit maka kita boleh usaha untuk mengatasinya. Itu juga tujuan kita membangunkan Dasar Pendidikan Rabbani dan Komuniti Rabbani. Ia adalah ikhtiar untuk mengatasi masalah sosial sebegini,” kata beliau.

Mohamed Fadzli turut menafikan anak muda dari negeri ini memasuki kelab-kelab malam di Thailand kerana tidak ada hiburan di Kelantan.

“Ada bermacam-macam bentuk hiburan di negeri ini. Tinggal lagi hiburan bagaimana yang mereka mahukan. Kalau mahu bentuk hiburan tidak baik yang tiada di negeri ini, maka mereka terpaksalah ke tempat-tempat di luar Kelantan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya