KUALA LUMPUR: Kerajaan melaksanakan kajian pra-kebolehlaksanaan tenaga nuklear sebagai salah satu langkah untuk menjayakan agenda peralihan tenaga negara.
Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusoff berkata, teknologi nuklear dilihat berupaya untuk memainkan peranan sebagai beban asas disebabkan kadar ketersediaannya adalah amat tinggi iaitu melebihi 85 peratus.
Kata beliau, tenaga tersebut juga dapat mengurangkan kebergantungan kepada bahan api gas, serta menggantikan kapasiti arang batu.
“Dalam hubungan ini, Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (Petra) melalui MyPOWER sedang melaksanakan kajian pra-kebolehlaksanaan tenaga nuklear yang dijangka siap pada akhir Disember 2024.
“Kajian yang dilaksanakan ini turut meneliti perkembangan teknologi small modular reactor (SMR), yang sedang giat dibangunkan oleh negara-negara maju, untuk digunakan dalam negara.
“Ini sekiranya kerajaan membuat keputusan untuk menggunakan tenaga nuklear sebagai sumber penjanaan elektrik pada masa hadapan,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu berkata, kerajaan akan melaksanakan pelan pembangunan sumber manusia yang komprehensif sekiranya memutuskan untuk penggunaan teknologi nuklear bagi penjanaan elektrik.
Jelasnya, ia bagi memastikan terdapatnya tenaga kerja yang mencukupi, berkemahiran tinggi dan kompeten dalam sektor nuklear.
“Selain itu, kerajaan akan mengambil langkah bersepadu dan terancang dalam memberi kefahaman terhadap masyarakat berkenaan penggunaan tenaga nuklear dan pengurusan sisa yang terhasil daripadanya.
“Selain meneroka potensi penjanaan elektrik berasaskan sumber tenaga bersih, kerajaan turut berhasrat untuk mengukuhkan lagi kerjasama serantau dalam bidang tenaga terutama dalam kalangan negara-negara ASEAN.
“Ini selari dengan visi Malaysia selaku Pengerusi ASEAN pada tahun 2025,” katanya.- UTUSAN