BUKIT MERTAJAM: Kerajaan mengimport sehingga 40 peratus beras pada masa ini bagi memastikan bekalan beras untuk pengguna dalam negara mencukupi.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, setakat ini, bekalan beras tempatan yang ada di dalam negara adalah sebanyak 56 peratus dan situasi ini membuatkan kerajaan terpaksa mengimport beras dari luar negara.
“Kita import sebanyak 40 peratus (beras) dan kita harap dapat turunkan harga beras (import). Cuma, pada kita sekarang ini, yang pentingnya beras itu ada.
“Kami juga sedang bincang dengan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) supaya dapat turunkan harga beras import kerana di peringkat antarabangsa berlaku penurunan berikutan pengukuhan ringgit dan ia mungkin ia akan beri kesan juga kepada negara,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) hadir merasmikan Konvensyen Amanah Pulau Pinang 2024 di Perai, dekat sini. Hadir sama Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Menurut Mohamad, pada masa ini, berlaku pelbagai faktor yang menyebabkan bekalan beras tempatan bermasalah.
“Memang kita sekarang ini (ada masalah bekalan beras tempatan) dengan masalah banjir, perubahan cuaca dan hilang kawasan (tanaman padi) disebabkan perumahan dan perniagaan. Tapi, kita cuba cari jalan untuk memastikan beras sentiasa ada dalam pasaran untuk memenuhi keperluan pengguna.
“Kemarau di Kelantan, banjir di Kedah dan kehilangan 20,000 hektar sawah juga mengundang masalah. Namun, kerajaan sentiasa berusaha memastikan stok beras ada, tidak kiralah dari mana cuma mungkin ada yang murah dan mahal kerana kita import,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad memberitahu, kerajan juga dalam tempoh jangka masa panjang sedang berusaha untuk menggantikan kawasan-kawasan sawah yang terjejas.
“Kita bekerjasama dengan beberapa negeri antaranya Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sarawak. Paling besar kita nak buat ialah, bersama kerajaan Sarawak yang semua itu mengambil tempoh 10 tahun untuk hasilkan padi dan beras,” katanya. – UTUSAN