Kerajaan cari jalan atasi kebantutan, kemurungan anak-anak GISBH

Kerajaan cari jalan atasi kebantutan, kemurungan anak-anak GISBH

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri bercakap pada sidang akhbar selepas Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia di Menara Ken TTDI di sini, hari ini./PIX FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengambil langkah proaktif bagi menangani isu kebantutan dan kemurungan yang dialami oleh anak-anak GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang kini berada dalam tempoh pemulihan. 

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kanak-kanak tersebut kini ditempatkan di bawah perlindungan pihak berwajib dan dijadualkan menjalani pemeriksaan di pusat-pusat kesihatan khas. 

“Pemeriksaan kesihatan tersebut bakal melibatkan kaunselor serta pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

“Buat masa ini, KKM sedang menjalankan kajian menyeluruh untuk mengenal pasti punca masalah kebantutan yang dihadapi oleh kanak-kanak ini termasuk meneliti jenis makanan yang diberikan kepada mereka,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia anjuran Tabung Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) di Menara Ken, di sini hari ini. 

Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pemeriksaan kesihatan fizikal yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dari 4 hingga 8 November lalu terhadap lebih 200 kanak-kanak GISBH mendapati 26.8 peratus daripada mereka mengalami masalah kebantutan, termasuk 6.8 peratus yang mengalami kebantutan teruk. 

Selain itu, 13.6 peratus kanak-kanak terbabit mengalami susut berat badan, dengan 7.9 peratus berada dalam kategori susut teruk.  

Dalam pada itu, Nancy berkata, masalah kemurungan yang dialami oleh anak-anak GISBH juga sedang diberikan perhatian khusus oleh KKM.

“Ini bukan isu baharu. Kami mempunyai jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi bagi menangani masalah tersebut terutamanya melibatkan isu pertumbuhan terbantut dan kesihatan mental.

“KKM bakal menjadi salah satu sekretariat bagi jawatankuasa tersebut bagi memastikan aspek kesihatan dan kebajikan mangsa dipantau,” jelasnya. 

Nancy menjelaskan, sebagai langkah awal, kaunselor telah ditempatkan bagi memberikan sokongan psikologi kepada anak-anak GISBH sebelum kes-kes dirujuk ke mahkamah. 

“Sebelum kes dibawa ke mahkamah, kami perlu menjalankan pemeriksaan perubatan bagi memastikan sama ada mereka memerlukan perlindungan atau tindakan lain. 

“Proses ini penting untuk menentukan langkah seterusnya,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya