PUTRAJAYA: Kerajaan menerima baik dan sentiasa meneliti setiap pandangan pelbagai pihak termasuk penarafan gred D yang diberikan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) terhadap prestasi Kerajaan Perpaduan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, selain berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan, kerajaan juga sentiasa berikhtiar untuk menambah baik perubahan dalam reformasi termasuk reformasi institusi.
“Jadi dalam tempoh berbaki bagi sidang Parlimen kali ini, Datuk Seri Azalina Othman Said (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) akan membawa beberapa RUU (rang undang-undang) yang akan mencerminkan usaha dan ikhtiar kerajaan untuk mereformasi atau pun menambah baik institusi.
“Berkemungkinan, sejumlah RUU juga akan dibawa ke mesyuarat penggal depan yang akan bermula sekitar Februari. Jadi, banyak RUU yang sedang direncana dan dirancang sedang berada dalam proses termasuk bagi kementerian ini,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Bersih memberi gred D iaitu 45.8 peratus kepada Kerajaan Perpaduan sepanjang dua tahun mentadbir negara menunjukkan wujud jurang signifikan dari aspek kemajuan, progres dan tindakan ke arah pelaksanaan reformasi.
Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Fahmi berkata, kerajaan menangguhkan pembentangan RUU Pekerja Gig bagi membolehkan lebih banyak sesi libat urus dibuat.
Jelasnya, perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini. – UTUSAN