Kerajaan alu-alukan keputusan ICC keluar waran tangkap Netanyahu

Kerajaan alu-alukan keputusan ICC keluar waran tangkap Netanyahu

BENJAMIN NETANYAHU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan mengalu-alukan pengumuman mengenai keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant.

Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, pengumuman berkaitan keputusan itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini.

“Kerajaan Malaysia mengalu-alukan pengumuman ini dan sudah pasti mereka tidak akan datang ke Malaysia sebab Malaysia tidak mengiktiraf dan tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel.

“Kerajaan juga mengalu-alukan keputusan kerajaan-kerajaan di seluruh dunia yang mana telah memperakui dan memberi kerjasama kepada pihak ICC bagi menangkap penjenayah ini,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam keputusan bersejarah, ICC pada Khamis mengumumkan bahawa waran tangkap telah dikeluarkan terhadap Netanyahu dan Gallant atas tuduhan jenayah perang yang didakwa dilakukan mereka di wilayah Palestin, termasuk Gaza.

Waran tangkap itu dikeluarkan ketika serangan genosid Israel ke atas Gaza baru-baru ini memasuki tahun kedua, dengan jumlah kematian rakyat Palestin menjangkau kira-kira 44,000, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak serta mencederakan lebih 103,000 yang lain.

Menerusi perkembangan berlainan, Fahmi berkata, cadangan kerajaan Johor untuk mengubah waktu bekerja sektor awam di negeri itu kepada empat hari setengah berkemungkinan akan dibincangkan pada Sesi Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura, bulan depan.

“Tapi dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, tidak dibincangkan,” katanya.

Semalam, media melaporkan kerajaan Johor sedang meneliti cadangan perubahan waktu bekerja sektor awam di negeri itu kepada hanya empat hari setengah, susulan pelaksanaan cuti hujung minggu yang diubah semula kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya