KUALA LUMPUR: Sebanyak 17 pertuduhan berkait pengubahan wang haram dan elak cukai yang dikenakan terhadap Datin Seri Rosmah Mansor dibuat mengikut lunas undang-undang dan tidak cacat.
Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, kesemua pertuduhan tersebut mengandungi butiran yang lengkap dan mencukupi bagi membolehkan isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat pembelaan sewajarnya.
Selain itu, pendakwaan menghujahkan bahawa pembelaan gagal mengiktiraf prinsip undang-undang asas yang mengawal kaedah pertuduhan dirangka dalam prosiding jenayah.
“Pertuduhan yang dipersoalkan itu tidak bertindih dan tidak cacat sebaliknya ia mencerminkan tindakan jenayah yang berbeza.
“Setiap satunya berlaku pada masa yang berbeza dan setiap satu memerlukan pertuduhan berasingan untuk menangani sepenuhnya skop kelakuan tertuduh,”kata Ahmad Akram.
Pendakwa raya itu turut menghujahkan sebarang isu yang dibangkitkan oleh pembelaan pada ketika ini adalah pramatang dan sepatutnya dipertimbangkan oleh mahkamah sewaktu perbicaraan.
Hakim Mahkamah Tinggi, K. Muniandy selepas mendengar hujahan kemudian menetapkan 19 Disember ini untuk keputusan permohonan Rosmah untuk menggugurkan kesemua pertuduhan itu.
Rosmah sedang dibicarakan atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 juta dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) antara 2013 dan 2018.
Perbicaraan tersebut telah bermula pada 24 Ogos lalu dan dua orang saksi telah dipanggil memberi keterangan. Perbicaraan itu terhenti selepas wanita itu memfailkan permohonan pada 6 September 2023.
Menurut ucapan pembukaan perbicaraan tersebut, Rosmah telah mendepositkan puluhan keping cek dan wang tunai berjumlah RM7,097,750 ke dalam akaun Affin Bank miliknya walaupun beliau tidak mempunyai sebarang pekerjaan ketika itu.
Wang lebih RM7 juta itu didakwa digunakan oleh Rosmah untuk membayar bil-bil telefon dan kad kredit miliknya dan ahli-ahli keluarganya.
Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.
Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 sebagaimana yang diperuntukkan oleh Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Hukuman bagi kesalahan membabitkan pengubahan wang haram dan elak cukai itu ialah penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, atau yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – UTUSAN