KOTA TINGGI: Hukuman terhadap penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang terlibat dalam dua kes buli berasingan di universiti berkenaan akan diketahui dalam tempoh dua minggu lagi.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan berhubung kes itu telah pun diputuskan namun perlu mendapat pengesahan daripada Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT).
“Kementerian Pertahanan telah ada keputusan mengenai kadet yang terlibat tempoh hari ini, kita hanya menunggu pengesahan daripada Majlis Angkatan Tentera.
“Kalau memang mereka akan dihukum untuk dibuang, mereka akan perlu bayar denda iaitu pulang balik segala tanggungan yang kerajaan telah keluarkan sepanjang mereka jadi kadet belajar di Universiti dan mereka mesti keluar dari Akademi Latihan Ketenteraan (ALK).
“Maknanya bila hukuman disahkan dalam Mesyuarat MAT dalam masa dua minggu lagi. Keputusan sudah ada seperti yang telah saya katakan. Ia membabitkan dua kes yang melibatkan lima kadet, salah seorang yang kes buli seterika,” katanya pada akhbar selepas Majlis Pelancaran Sukarelawan Kota Tinggi di Pusat Khidmat Parlimen Kota Tinggi di sini, malam tadi.
Mohamed Khaled berkata, selain mengenakan hukuman berat terhadap pelaku, MINDEF juga katanya akan memperketatkan tindakan terhadap pihak atau individu yang menyorokkan insiden buli yang terjadi dalam UPNM, serta pihak yang tidak memaklumkan kejadian buli terbabit.
“Selain usaha menambah jurulatih dan mengasingkan pelajar tahun satu dan pelajar senior, kita juga akan memperketatkan hukuman dan menghebahkan supaya semua tahu sebagai satu literal kalau sesiapa terlibat dalam soal kekejaman, buli dan penderaan, hukuman adalah sangat berat.
“Kita juga akan memperketatkan tindakan terhadap mereka yang menyorok atau tidak memaklumkan (kejadian buli) jadi ini antara yang kita buat.
“Saya ingin jelaskan, latihan tentera memang berat tetapi tidak sehingga melakukan kekejaman ataupun sehingga memukul guna seterika tidak begitu, ini antara pelajar,” katanya.
Pada 30 Oktober lalu, UPNM merekodkan satu lagi kes penderaan kejam berlaku di universiti pertahanan itu yang menyaksikan seorang kadet mengalami kesan melecur di dadanya selepas didera dan dibuli senior dengan menggunakan seterika panas.
Pada 10 November lalu, satu lagi kes buli melibatkan penuntut UPNM dilaporkan membabitkan seorang penuntut tahun satu universiti berkenaan yang cedera parah dengan keretakan tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak penuntut senior dalam kejadian pada 21 Oktober lalu. – UTUSAN