SEREMBAN: Mahkamah Tinggi Seremban di sini hari ini menetapkan 20 Disember ini untuk memberi keputusan berhubung permohonan seorang lelaki untuk menggali semula kubur bapanya yang dikebumikan secara Islam, tujuh tahun lalu.
Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan pihak plaintif, Roseli Mahat, 52, dan pihak responden pada prosiding pukul 3 petang tadi. Responden dalam kes itu ialah Kerajaan Negeri Sembilan dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).
Pada 31 Julai tahun lalu, Roseli memfailkan saman pemula bagi memohon untuk menggali semula jenazah bapanya Mahat yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Sikamat, di sini.
Plaintif yang turut hadir ke mahkamah hari ini sebelum ini mendakwa bapanya, Mahat Sulaiman mengamalkan agama Hindu Baba Nyonya sejak lahir sehingga meninggal dunia pada 9 September 2017 dan dikebumikan secara Islam.
Pada prosiding terdahulu, peguam plaintif, S. Karthigesan mempersoalkan bagaimana bapa plantif dikatakan sebagai Muslim sedangkan dalam rekod afidavit jawapan bagi saman pemula responden pertama dan kedua iaitu Kerajaan Negeri Sembilan dan MAINS tidak dinyatakan mengenai perkara itu.
“Tarikh kematiannya pada 9 September 2017 dan dinyatakan keturunan Mahat Sulaiman adalah Cina dan maklumat agamanya tidak diperoleh.
“Kesemua ini adalah isu yang perlu dibicarakan (triable issue). Macam mana boleh dikatakan (si mati) Muslim sedangkan dalam rekod tidak dinyatakan dia Muslim melainkan dalam kad pengenalan yang dikatakan ada perkataan Islam,” katanya.
Jelas Karthigesan, jika dirujuk kepada sijil kelahiran anak-anak si mati juga tiada dinyatakan beragama Islam sebaliknya hanya keturunan Cina.
Menjawab hujahan itu, peguam yang mewakili Kerajaan Negeri Sembilan, Amalina Zainal Mokhtar berkata, tindakan plaintif untuk mendapatkan perintah penggalian semula kubur bapanya dianggap sudah lewat.
“Telah berlaku kelewatan untuk memfailkan tindakan ini yang mana pemohon hanya memfailkan tindakan ini pada 31 Julai 2023 dan telah berlaku kelewatan yang sangat jelas permohonan pemohon tidak boleh dipertahankan,” katanya.
Sementara itu, peguam mewakili MAINS, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar turut membangkitkan dua isu dalam hujahan balas yang mana isu keislaman adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah dan si mati tidak pernah mempertikaikan status agama Islam sepanjang hayatnya.
Zainul Rijal berkata, ini berdasarkan kenyataan peguam yang mewakili plaintif yang mendakwa data keislaman pada kad pengenalan si mati yang dikeluarkan pada 15 Ogos 2018 tertera perkataan Islam.
“Jadi, sekiranya si mati mempertikaikan keislamannya maka dia hendaklah memfailkan petisyen ketika itu untuk mengklasifikasikannya bukan beragama Islam tetapi ia tidak dilakukan,” katanya. – UTUSAN