SEREMBAN: Kementerian Luar sedia untuk membantu untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung dakwaan dakwaan seorang pelajar Malaysia menjadi tentera upahan dalam konflik peperangan Ukraine dan Russia.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, buat masa ini perkara berkenaan sedang dalam tindakan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Belum lagi sampai ke tahap meminta bantuan kami (Kementerian Luar), bagaimanapun kami akan membantu serta sedia menguruskan apa juga perkara yang diperlukan.
“Kami akan melihat dan memantau perkara ini dan individu tersebut merupakan seorang pelajar, jadi KPT yang akan mengambil tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Solidariti Nasional (Persona) Kebangsaan Kali Kesembilan di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan polis giat mendapatkan maklumat daripada Kedutaan Russia berhubung dakwaan seorang lelaki Malaysia terlibat menjadi tentera upahan.
Ia susulan penemuan kad pengenalan dan lesen memandunya di Ukraine seperti tular dalam media social.
Sementara itu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau mengulangi nasihatnya supaya rakyat Malaysia yang merancang ke luar negara sama ada untuk bekerja, melanjutkan pengajian ataupu melancong supaya memaklumkan lokasi keberadaan dan nombor telefon mereka kepada pihak kedutaan Malaysia di negara yang hendak dikunjungi.
“Kita (Kementerian Luar) tidak semestinya ada rekod sebab mereka ini kadang-kadang ada yang datang belajar atas (tiket) persendirian dan mereka kadang-kadang tidak mendaftar (kedutaan) menyebabkan kita tak tahu,”katanya.
Sementara itu, mengulas penyertaannya ke Persidangan Ketua-Ketua Negara/Kerajaan Komanwel Ke-27 (CHOGM 2024) di Apia, Samoa baru-baru ini, Mohamad berkata, isu perubahan iklim yang mengancam negara-negara pulau antara menjadi topik utama diperbincangkan.
“Hal ini kerana untuk menguruskan perubahan iklim memerlukan teknologi dan pembiayaan besar selain sokongan negara maju.
“Jadi semua negara telah bersatu hati untuk menangani masalah pemanasan global dan bersetuju mengurangkan pemanasan global pada suhu 1.5 darjah celcius menjelang 2030,” katanya. – UTUSAN