PETALING JAYA: Penyanyi, Ernie Zakri, dinobatkan sebagai pemenang Soundtrack Sinetron Paling Ngetop, di SCTV Awards 2024, semalam.
Ernie atau Nur Ernie Shahirah Zakri, 32, membawa pulang trofi kemenangan pertamanya dari Indonesia menerusi lagu ‘Masing Masing’ yang menjadi runut bunyi drama Luka Cinta tayangan syarikat penyiaran itu September lalu.
“Assalamualaikum, selamat pagi, Alhamdulillah. Lagu ‘Masing Masing’ mendapat anugerah Soundtrack Sinetron Paling Ngetop untuk drama Luka Cinta di SCTV.
“Datang sini untuk nyanyi sahaja, tidak sangka dapat bawa pulang kenangan terindah ini,” tulisnya menerusi hantaran di Instagram.
Dalam pada itu, Ernie turut mendedikasikan kemenangan tersebut kepada komposer lagu tersebut, Ade Govinda dan peminat yang menyokongnya selama ini.
“Terima kasih Ade Govinda untuk karya ini dan pihak Universal Music Malaysia dan Indonesia.
“Terima kasih kepada pasukan saya yang datang dari Malaysia untuk menyiapkan saya dan peminat kerana memberikan sokongan sepanjang tahun ini.
“Juga, terima kasih kepada peminat lagu Masing Masing, kerana anda, saya sampai di sini. Sayang semua,” tambahnya.
Kemenangan Ernie telah mengenepikan calon lain dari kategori sama iaitu lagu Cinta Pertama dan Terakhirku nyanyian Sherina Munif (My Heart), Kehilanganmu – Shanna Shannon (Naik Ranjang), Ku Dengannya Kau Dengan Dia – Afgan (Di Antara Dua Cinta) dan Takkan Terpaling DariMu dendangan Datuk Seri Rossa (Saleha).
Menerusi ruangan komen, ramai yang megucapkan tahniah dan turut berbangga dengan kejayaan yang diraih penyanyi itu. -UTUSAN