Kematian Yahya Sinwar tidak gugat perjuangan rakyat Palestin

Kematian Yahya Sinwar tidak gugat perjuangan rakyat Palestin

ASYRAF Iwadh (kanan) semasa berucap pada Ijtimak Tarbawi 10.0 di PUTIK, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan hari ini. - UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kematian ketua Biro Politik Hamas Yahya Sinwar yang terkorban dalam serangan rejim Israel pada Khamis lalu tidak menggugat semangat perjuangan umat Islam di Palestin dalam melawan kekejaman zionis itu.

Ketua Multaqa Syabab Alam Islami, Dr. Asyraf Iwadh berkata, walaupun pelbagai ancaman terpaksa dihadapi, umat Islam Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak tidak pernah gentar menghadapi ancaman rejim zionis dan sekutunya.

“Selama 25 tahun Yahya Sinwar berada dalam penjara Israel dan apabila dibebaskan, beliau telah mengetuai tentera Palestin  untuk menentang Israel.

“Biarpun beliau (Yahya Sinwar) telah syahid, namun kanak-kanak, wanita dan seluruh umat Islam di Palestin tidak pernah gentar melawan zionis dan sekutunya,” katanya semasa berucap pada Ijtimak Tarbawi 10.0 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) di Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Dr. Asyraf Iwadh berkata, lebih 50,000 umat Islam menjadi mangsa keganasan tentera rejim Israel dalam tempoh setahun manakala lebih 10,000 orang menjadi tahanan dan berdepan penyeksaan mental serta fizikal yang amat dahsyat.

Katanya, umat Islam di bumi Ambiya’ itu sememangnya memerlukan sokongan dari seluruh dunia untuk bangkit menentang kezaliman rejim zionis.

“Umat Islam di seluruh dunia disarankan untuk turut memberi sokongan kepada perjuangan ini kerana ia bukan hanya soal kemanusiaan dan pengkhianatan, malah berkaitan akidah.

“Sokongan berterusan rakyat Malaysia khususnya umat Islam, termasuk pemuda Pas amat dihargai oleh seluruh rakyat Palestin dan teruslah memberi sokongan serta berdoalah untuk kemenangan kita semua,” ujarnya.

Media pada 18 Oktober lalu melaporkan, kumpulan pejuang Hamas mengesahkan Ketua Biro Politiknya, Yahya Sinwar terkorban dalam serangan rejim Israel pada Khamis lalu.

Berita duka itu disahkan oleh Timbalan Ketua Biro Politik Hamas, Khalil Hayya menerusi rakaman video seperti disiarkan oleh Al Jazeera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya