Keluar RM1 juta tanpa kelulusan adalah pecah amanah - Hakim

Keluar RM1 juta tanpa kelulusan adalah pecah amanah – Hakim

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini mendapati tindakan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengarahkan pengeluaran wang RM1 juta tanpa kelulusan Majlis Pimpinan Tertinggi Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merupakan satu kesalahan pecah amanah.

Selain itu, mahkamah turut berpendapat tindakan tertuduh menyimpan dan membahagikan wang tunai yang dikeluarkan tanpa disimpan di pejabat Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) juga menimbulkan satu inferens niat jahat (bad faith).

Pada masa sama, pembelaan bahawa Syed Saddiq menggunakan wang sendiri untuk perbelanjaan kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tidak boleh diterima kerana keterangan itu tidak disokong oleh saksi-saksi lain.

Selain itu, dakwaan Syed Saddiq bahawa wang itu adalah untuk menggantikan perbelanjaan kempen pilihan raya yang menggunakan wangnya sendiri telah dinafikan oleh saksi pendakwaan kerana tertuduh tidak pernah menunjukkan apa-apa resit perbelanjaan atau memaklumkannya berkenaan tujuan kegunaan wang itu.

Mahkamah turut berpendirian, dakwaan tertuduh bahwa segala butiran perbelanjaan kempen pilihan raya boleh dirujuk kepada individu bernama Mohamed Amshar Aziz sebagai tidak berasas kerana perkara itu dinafikan oleh penama berkenaan.

“Penyata-penyata bank yang dikemukakan tidak menunjukkan sebarang pengeluaran yang boleh dikatakan sebagai perbelanjaan bagi kempen pilihan raya,” ujar Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Azhar Abdul Hamid.

Alasan-alasan tersebut dinyatakan dalam penghakiman hakim berkenaan yang diperoleh pihak media melalui laman web mahkamah hari ini.

Penghakiman lanjut turut menyatakan pembelaan Syed Saddiq, 31, yang menyatakan beliau tidak mengetahui transaksi pengeluaran wang RM1 juta daripada akaun Armada turut ditolak mahkamah.

“Mahkamah ini berpendapat bahawa adalah tidak munasabah seorang pemimpin sayap parti politik tidak mengetahui pengeluaran wang yang banyak daripada akaun sayap parti.

“Keterangan tertuduh bahawa yang menafikan pengetahuan tentang penyimpanan dan kegunaan wang tersebut merupakan sesuatu yang sukar diterima akal,” demikian alasan hakim itu lagi.

Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta ke atas Syed Saddiq selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan tersebut.

Azhar menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan bagi kesalahan bersubahat melakukan pecah amanah, dua tahun penjara dan satu sebatan bagi pertuduhan salah guna harta manakala bagi dua kesalahan pengubahan wang haram masing-masing dipenjara dua tahun dan denda RM5 juta.

Jika gagal membayar denda,Syed Saddiq, 30, boleh dipenjara empat tahun.

Bagaimanapun, Azhar membenarkan Syed Saddiq menangguhkan pelaksanaan semua hukuman manakala syarat jaminan dikekalkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya